Rembau, 24 Jun – Seramai 105 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdullah di sini hari ini berpeluang mengikuti Program Alam University Awaits anjuran pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan kampus Rembau yang mengambil kursus kokurikulum HPD 239: Asas Fasilitator II.
Program yang julung kalinya diadakan ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para pelajar sekolah menengah tentang kepentingan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, memandangkan kini ramai pelajar yang menolak untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
Menurut penasihat program, Puan Nurul Nisha, program sehari ini merangkumi pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah motivasi, perkongsian pengalaman oleh mahasiswa UiTM, sesi soal jawab dan permainan interaktif bersama dengan para pelajar.
“Kami mahu membuka minda pelajar sekolah tentang peluang melanjutkan pelajaran ke universiti dan kelebihan menjadi seorang graduan. Keadaan ini amat penting bagi masa depan mereka dan pembangunan negara,” katanya.
Para pelajar sekolah sangat bersemangat dan teruja dengan setiap aktiviti yang dilaksanakan bersama dengan fasilitator dari UiTM Kampus Rembau.
Melalui program ini, pelajar dapat mengenali potensi diri mereka dan meningkatkan keyakinan untuk berjaya. Mereka juga dapat menyemai sikap kepimpinan dan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar yang amat penting apabila melanjutkan pelajaran ke universiti kelak.
Seorang peserta, Alia Ardini Asni, pelajar tingkatan 4, berkata program ini membuka mindanya tentang pelbagai jurusan yang ada di universiti.
“Program ini telah menarik perhatian saya tentang jurusan yang ada di universiti. Saya juga lebih terbuka dengan pelbagai kursus yang ada,” ujarnya.
Bagi ketua projek Program Alam University Awaits pula, penganjuran program ini memberi peluang kepada pelajar UiTM untuk mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari dalam kelas pada situasi sebenar.
“Sebagai bakal fasilitator, program ini melatih kami untuk merancang aktiviti berkomunikasi dengan berkesan dan mengendalikan program dengan jayanya.”
“Ia satu pengalaman berharga yang dapat meningkatkan Kemahiran insaniah kami,” katanya.
Program Alam University Awaits ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pelajar UiTM untuk membangunkan masyarakat setempat khususnya melalui perkongsian ilmu. Ia juga sebagai platform bagi pelajar UiTM mempraktikkan kemahiran fasilitator yang dipelajari dalam kursus HPD239.