Padang Jawa, 6 Jun 2024 – Mahasiswa tahun akhir daripada program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Perdana telah menganjurkan program Kembara Ilmu dan Minggu Literasi Maklumat dan Media Kanak-kanak dengan kerjasama dari Sekolah Rendah Agama Padang Jawa, Klang. Program ini merupakan inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertemakan Digitalisasi dan Amalan Lestari, Inovatif, dan Adaptif (DAHLIA).
Program ini telah dilaksanakan bersama 126 orang pelajar tahun 4 yang bertempat di Sekolah Rendah Agama Padang Jawa, Klang. Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang kemahiran mencari maklumat dan penggunaan media secara efektif.
Program dimulakan dengan sesi “Knowledge Sharing” daripada 3 orang mahasiswa, dan diteruskan dengan aktiviti “Digital Scavenger Hunt” yang memerlukan pelajar untuk mencari jawapan berdasarkan soalan berdasarkan sumber dan rujukan yang boleh dipercayai. “Media Literacy Board Game” juga turut dilaksanakan dimana para pelajar bersama ahli kumpulan diberikan bidak sebagai wakil kumpulan, dan dadu beserta soalan yang perlu dijawab oleh peserta, manakala “Fasi Say” dijalankan sebagai aktiviti selingan.
Program KPPIM SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, serta Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani. Turut hadir pada program ini adalah Guru Penolong Kanan 1, Puan Anida Binti Ahamad, Puan Siti Nurul Maryam Abdullah selaku pensyarah pembimbing dan 4 orang guru kelas yang terlibat.