FSK E-Fest 2024: Mencetus Inspirasi Keusahawanan dalam Kalangan Mahasiswa

8 Jun 2024 – Pada 4 hingga 8 Jun 2024, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA telah mengadakan Festival keusahawanan (FSK E-Fest) 2024 sempena sambutan ke-20 tahun penubuhan fakulti. Festival ini dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Pengurusan Perniagaan Kecil dan Sederhana Malaysia (MASMED) FSK dengan kerjasama Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Fakulti Sains Kesihatan yang bertujuan untuk memperkasa mahasiswa dalam bidang keusahawanan melalui pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat. Festival ini merangkumi aktiviti jualan dari persatuan pelajar FSK, pertandingan start up pitching (SPC), dan ceramah keusahawanan yang melibatkan pakar industri dan alumni yang kini bergelar usahawan berjaya. Salah satu aktiviti utama yang dijalankan adalah pembukaan bazar jualan daripada 10 persatuan pelajar yang menjual pelbagai jenis barang dan perkhidmatan. Melalui aktiviti ini, mereka diberi peluang untuk mempamerkan kreativiti dan kemahiran keusahawanan mereka melalui produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Produk yang dijual meliputi makanan dan minuman, barangan kraf tangan, pakaian, aksesori, serta perkhidmatan seperti konsultasi kesihatan dan kecantikan. Setiap bazar diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa dalam memberikan mereka pengalaman praktikal dalam mengendalikan perniagaan sebenar termasuklah pengurusan inventori, interaksi dengan pelanggan, pemasaran produk, dan pengurusan kewangan. Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran perniagaan mereka secara langsung, tetapi juga membantu mereka mendapatkan maklum balas dari pengunjung dan pakar industri yang hadir. Selain itu, bazar jualan ini juga berfungsi sebagai platform  untuk mahasiswa mempraktikkan teori yang dipelajari dalam kelas ke dalam situasi sebenar dengan melihat secara langsung bagaimana konsep-konsep seperti analisis pasaran, strategi harga, dan kepuasan pelanggan diaplikasikan dalam perniagaan. Pengalaman ini memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang cabaran dan peluang dalam dunia keusahawanan.

Di samping aktiviti jualan, ceramah motivasi dan inspirasi juga merupakan komponen penting dalam Festival Keusahawanan ini. Sesi ceramah keusahawanan menampilkan usahawan-usahawan berjaya yang berkongsi kisah kejayaan dan perjalanan mereka dalam menghadapi cabaran dan rintangan dalam dunia perniagaan. 2 orang tokoh usahawan yang dijemput adalah En. Mat Sahar Sulaiman dan En. Muhammad Arif Mohd Yusof yang merupakan alumni FSK dan masing-masing ialah pengasas GT Physio Sdn. Bhd. dan Physio Go Sdn Bhd. Melalui penceritaan yang penuh inspirasi daripada mereka, mahasiswa dapat belajar daripada pengalaman sebenar dan mendapatkan pandangan yang berharga tentang dunia perniagaan. Mahasiswa turut didedahkan kepada pelbagai aspek keusahawanan, termasuk inovasi, pengurusan risiko, kepimpinan, dan etika perniagaan. Di samping memberikan motivasi, kisah-kisah ini juga memberikan panduan praktikal yang boleh diaplikasikan dalam perjalanan keusahawanan mereka sendiri. Ceramah ini juga menyediakan peluang untuk mahasiswa berinteraksi secara langsung, mengajukan soalan, dan mendapatkan nasihat yang berguna daripada kedua-dua usahawan ini.

Pertandingan Startup Pitching Competition (SPC) 2024 turut diadakan. Pertandingan ini direka khusus untuk memberi peluang kepada mahasiswa mempersembahkan idea-idea perniagaan inovatif mereka di hadapan panel juri yang terdiri daripada usahawan berpengalaman, pelabur, dan pakar industri. Pertandingan ini menggalakkan mahasiswa untuk berfikir secara kreatif dan strategik, menghasilkan model perniagaan yang boleh dilaksanakan, dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dalam dunia perniagaan sebenar. Setiap peserta diberikan masa tertentu untuk membentangkan idea, menjelaskan nilai unik produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, strategi pemasaran, analisis pasaran, serta rancangan kewangan mereka. Melalui SPC 2024, mahasiswa berpeluang untuk menunjukkan kebolehan mereka dalam menampilkan idea perniagaan dengan jelas dan meyakinkan. Kemampuan untuk ‘pitch‘ atau mempersembahkan idea secara efektif merupakan kemahiran yang penting dalam keusahawan kerana keupayaan ini boleh menjadi faktor penentu dalam menarik minat pelabur dan rakan kongsi perniagaan.

Pertandingan ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan maklum balas konstruktif daripada juri yang berpengalaman, dalam membantu memperbaiki dan mengembangkan idea mereka dengan lebih lanjut. SPC 2024 turut menawarkan hadiah menarik sebagai inisiatif tambahan kepada mahasiswa untuk mengambil bahagian dan memberikan yang terbaik dalam pertandingan ini. Melalui penyertaan tersebut, mahasiswa tidak hanya mengasah kemahiran keusahawanan mereka tetapi juga membina jaringan dengan pelabur dan usahawan lain. Kemahiran ini boleh menjadi aset berharga dalam perjalanan perniagaan mereka kelak. Festival Keusahawanan (FSK E-Fest) 2024 anjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA, telah membuktikan keberkesanannya dalam mengembangkan potensi keusahawanan dalam kalangan mahasiswa. Dengan pelbagai aktiviti yang ditawarkan, termasuk bazar jualan, ceramah motivasi, dan pertandingan SPC 2024, festival ini berjaya menyediakan platform yang holistik untuk pelajar mengasah kemahiran praktikal serta mendapatkan inspirasi daripada tokoh-tokoh usahawan berjaya. Pengalaman langsung yang diperoleh melalui penglibatan dalam acara ini bukan sahaja membantu dalam membentuk minda keusahawanan yang kritis dan kreatif, tetapi juga memberikan peluang untuk membina jaringan profesional yang penting untuk masa depan mereka. Semoga inisiatif ini terus menjadi pendorong kepada lebih ramai mahasiswa untuk menceburi bidang keusahawanan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Dengan berakhirnya FSK E-Fest 2024, pihak universiti berharap agar semangat keusahawanan yang telah disemai akan terus berkembang dan memberi manfaat jangka panjang kepada semua peserta.