6 Jun 2024, Raub – Biro Pemantapan Akademik (PEMANTAP) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub telah mengadakan satu perjumpaan khusus untuk pelajar Bahagian 1, BA111 dan BA119 semester Mac – Ogos 2024. Perjumpaan ini diberi nama Langkah Pertama Bersama setelah mengambil kira inilah kali pertama PEMANTAP bertemu dengan para pelajar Bahagian 1. Pelajar Bahagian 1 ini masih dikategorikan sebagai pelajar baru dan masih memerlukan bimbingan terutamanya pada aspek akademik. Sehubungan itu, perjumpaan ringkas ini dicadangkan bagi memfokuskan kepada perancangan dan pencapaian akademik.
Perjumpaan ini direncanakan bagi mencapai dua objektif utama. Pertama, memastikan pelajar memahami konsep dan aplikasi GPA dan CGPA. Kedua, mendedahkan pelajar kepada isu-isu akademik yang berbangkit agar tidak berulang kembali. Oleh itu perjumpaan ini dibahagikan kepada dua segmen yang dikelolakan oleh dua orang pensyarah kanan.
Segmen pertama disampaikan oleh Dr Hasnizawati Hashim dengan slot beliau “Selekoh-selekoh Ungu di Menara Gading. Pelajar didedahkan dengan cabaran-cabaran yang sering menjadi faktor kegagalan pelajar. Antara cabaran tersebut adalah seperti penguasaan bahasa Inggeris yang terhad, pengaruh rakan sebaya, tidak pandai menguruskan masa dan banyak lagi. Faktor-faktor sering kali membelenggu pelajar baharu yang mungkin terkejut dengan perbezaan gaya hidup antara zaman persekolahan dengan institusi pengajian tinggi.
Segmen kedua diteruskan oleh Puan Rozieana A. Halid @ Khalid untuk simulasi pengiraan GPA dan CGPA. Bagi segmen ini pelajar dibekalkan dengan aplikasi ringkas yang dinamakan MyCgpA untuk membuat pengiraan markah dan nilai purata secara digital. Menggunakan aplikasi MyCgpA yang dibangunkan oleh pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan, di mana semua kursus yang perlu dilengkapkan oleh pelajar sepanjang pengajian telah tersedia. Ini membolehkan pelajar untuk merancang pencapaian mereka bagi kursus-kursus yang diambil pada setiap semester. Puan Rozieana menunjukkan langkah demi langkah bermula dari memuat turun sehingga ke memasukkan maklumat di dalam aplikasi MyCgpA bagi menjana GPA dan CGPA pelajar. Dengan penggunaan MyCgpA, pelajar boleh menetapkan sasaran gred subjek yang perlu diperolehi bagi mencapai GPA atau CGPA yang yang telah disasarkan bagi semester tertentu. Sesi ‘hands-on’ menggunakan MyCgpA bersama pelajar juga dilaksanakan pada segmen ini.
Pertemuan yang dijalankan hanya mengambil kira satu jam telah ditamatkan dengan jayanya. Adalah diharapkan pelajar mengambil berat akan hal ehwal akademik mereka. Perancangan adalah penting untuk memastikan pelajar dapat menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan. Keputusan akademik yang baik dan cemerlang di peringkat diploma akan dapat membantu pelajar menyambung pelajar ke peringkat seterusnya dengan lebih selesa.