Sesi pengajian semester Mac sehingga Ogos 2024 menyaksikan UiTM Kampus Raub menganjurkan pertandingan sukan antara program atau lebih dikenali sebagai SUPRO buat kali ke tiga. Penganjuran ini dilaksanakan oleh Jawatankuasa Sukan Pelajar (JSP) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan unit sukan yang melibatkan 3 fakulti. Program yang terlibat adalah Diploma Pengajian Perniagaan (BA111), Diploma Perbankan (BA119), Diploma Sains Komputer (CS110), Diploma Statistik (CS111) dan Diploma Pentadbiran Awam (AM110). SUPRO 3.0 ini dijalankan selama 2 fasa, iaitu fasa pertama pada 27 dan 28 April manakala fasa kedua pada 4 dan 5 Mei 2024.
Majlis perasmian pembukaan telah berlangsung pada 25 April 2024 dirasmikan oleh YB Tuan Fadzli bin Mohamad Kamal, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan di Dewan Titiwangsa UiTM Raub. Majlis dimeriahkan dengan perarakkan masuk para kontijen bagi setiap program dengan persembahan sorakan dari setiap kontijen. Persembahan sorakan yang paling bersemangat akan memenangi anugerah pasukan sorak terbaik. Majlis perasmian juga diserikan lagi dengan pelbagai persembahan menarik dari Kelab Estetika Budaya UiTM Raub.
Sepanjang kejohanan sebanyak 17 jenis acara sukan yang dipertandingkan antaranya adalah sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, frisbee, ragbi sentuh, bola sepak dan tenis yang melibatkan padang. Manakala acara dalam dewan melibatkan sukan bola jaring, badminton, ping pong, catur turut dipertandingkan. Bagi kejohanan kali ini, BA111 menghantar penyertaan terbesar dengan setiap sukan mempunyai wakil iaitu seramai 40 orang atlet dengan seorang pengurus bagi setiap pasukan.
Atlet program BA111 telah menunjukan prestasi yang sangat luar biasa berbanding penyertaan pada SUPRO edisi yang lepas. Pada SUPRO 2.0 para atlet BA111 hanya meraih 5 pingat emas, 2 perak dan 3 gangsa. Namun, pada kali ini atlet telah menunjukan prestasi yang sangat membanggakan apabila berjaya meraih 15 kutipan pingat iaitu 8 emas, 5 perak dan 2 gangsa. Segala titik peluh dan keringat yang dicurahkan akhirnya terbayar. Atlet yang mengalami kecederaan juga bukan sedikit namun, kesungguhan untuk berjuang habis-habisan membangkitkan semangat seluruh pasukan.
Berikut adalah senarai pingat yang berjaya diperolehi;
Pingat Emas
- Sepak takraw
- Bola keranjang (lelaki)
- Frisbee (campuran),
- Ragbi sentuh (wanita)
- Tenis individu (wanita)
- Bola jaring
- Ping pong
- Catur (wanita)
Pingat Perak
- Bola tampar (lelaki)
- Bola keranjang (wanita)
- Ragbi sentuh (lelaki)
- Bola sepak
- Badminton
Pingat Gangsa
- Tenis individu (lelaki)
- Bola tampar (wanita)
Pada majlis penutup SUPRO 3.0, BA111 diumumkan sebagai juara keseluruhan dan berjaya menjulang piala pusingan yang diidam-idamkan. BA111 meraih kedudukan pingat tertinggi sebanyak 15 meninggalkan pasukan lain iaitu AM110 dengan jumlah pingat 12 dan CS110 sebanyak 11 pingat. Sementara bagi pertandingan sorakan, program AM110 diumumkan sebagai pemenang.
Melalui SUPRO, bakat para pelajar UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub dalam variasi bidang sukan berjaya dicungkil dan digilap. Untuk menjadi graduan yang baik, pelajar tidak hanya perlu menunjukkan kecemerlangan dalam akademik tetapi penglibatan dalam sukan dan pengurusan acara dipercayai memberikan nilai tambah. Adalah diharapkan pada edisi akan datang program BA111 masih dapat mengekalkan kecemerlangan dan mempertahankan kejuaraan yang dimiliki.