Inisiatif Kelab Penyayang UiTM: Mencari Sumbangan, Memberi Keceriaan Kepada Anak Yatim

SHAH ALAM, 3 APRIL 2024 – Kelab Penyayang, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan majlis iftar bersama anak yatim dari Rumah Anak Yatim Damai, Kuang Selangor dan mahasiswa UiTM Shah Alam.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Wanita UiTM (PEWANI), Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Angkatan Sukarelawan Asas Sejahtera (ASAS), Pertubuhan Kebajikan Dana Kita dan Kidz Studios ini turut menyaksikan penyampaian sumbangan duit raya dan beg sekolah kepada anak-anak yatim. Program iftar tersebut turut diserikan dengan persembahan oleh Kumpulan Nasyid Soul as Sakinah dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Seksyen 3 Shah Alam yang juga merupakan Johan Nasyid Terbuka Sekolah Rendah peringkat Karnival Masjid Bukit Kapar 2.

Kelab Penyayang UiTM sentiasa komited menjalankan dan menyokong aktiviti kesukarelawanan dengan mengenalpasti dan menjadikan sebuah rumah kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah warga tua atau rumah kanak-kanak istimewa sebagai rumah angkat yang bertujuan untuk memberi bantuan berterusan secara sukarela kepada penghuni rumah kebajikan tersebut.

“Bagi memperoleh keberkatan di bulan Ramadan yang mulia ini, meraikan anak yatim dengan majlis berbuka puasa dan memberi sumbangan untuk persiapan Aidilfitri akan menjadi tradisi dari tahun ke tahun.”

“Ini juga cara yang bagus untuk menggalakkan pembentukan sahsiah mahasiswa yang mempunyai sikap penyayang dan saling menghormati antara satu sama lain.” kata Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor, HEP UiTM yang hadir merasmikan majlis dan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang diraikan.

 

 

Kelab Penyayang UiTM Shah Alam turut melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi mengumpul dana dan sumbangan seperti Larian Amal, Karnival Keusahawanan dan senamrobik yang turut bekerjasama dengan badan kebajikan, syarikat-syarikat korporat dan individu-individu prihatin bagi melaksanakan program kebajikan terutamanya yang berteraskan kepada kluster kebajikan, kesihatan, pendidikan & infrastruktur.

Menurut Saudara Muhammad Aziman Syaqiran bin Mat Zain, Presiden Kelab Penyayang UiTM Shah Alam berkata “Kedatangan Ramadan, bulan mulia penuh keberkatan ini memang sentiasa ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam. Besar harapan saya agar majlis berbuka puasa seperti ini dapat diteruskan dalam memberi keceriaan kepada anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan melalui sumbangan yang disampaikan.”