Shah Alam, 4 April 2024 – Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) UiTM Shah Alam terus melakar sejarah dengan pelantikan YBhg Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab sebagai Profesor Adjung. Bertempat di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM, pemberian watikah pelantikan telah disempurnakan oleh YBhg Prof. Datuk Dr Shahrin Sahib, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) sambil disaksikan oleh YBrs. Prof. Ts. Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor KPPIM.
Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab bukanlah insan yang asing lagi di arena keselamatan siber raya. Merupakan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, beliau terkenal dengan membawa agensi strategik di bawah MOSTI itu ke peringkat global di dalam pemantauan kedaulatan siber negara.
Pelantikan beliau sebagai Profesor Adjung adalah amat bertepatan dengan aspirasi UiTM sebagai Globally Renowned University. Lebih membanggakan ia turut membawa wadah “locally rooted” memandangkan Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab adalah contoh anak watan Malaysia yang menjadi sumber rujuk kepakaran pelbagai negara bagi strategi tindak-balas kecemasan komputer serta pembentukan polisi siber raya.
Dengan sempurnanya pelantikan Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab sebagai Prof Adjung, adalah dipercayai UiTM dan KPPIM secara khususnya, akan terus mengorak langkah pemantapan kemahiran para graduan di bidang siber raya seterusnya menghasilkan graduan teknokrat berintegriti.