Bengkel Pengendalian dan Penyelenggaraan Mikroskop Anjuran Unit Biologi, UiTM Pahang Kampus Jengka

UiTM Jengka, Pahang – Unit Biologi, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menganjurkan bengkel pengendalian dan penyelenggaraan mikroskop dengan jayanya pada 27 Februari 2024 bertempat di Makmal Biologi 2.

Bengkel yang dihadiri oleh 17 orang peserta terdiri daripada staf makmal, pensyarah, dan pelajar bertujuan memberi pendedahan mengenai penggunaan dan penjagaan mikroskop yang betul untuk memastikan mikroskop sentiasa berada dalam keadaan baik dan dapat digunakan untuk jangka masa yang lama.

Taklimat dan aktiviti hands on disampaikan oleh penceramah jemputan, Encik Hidar Mahsuri, seorang jurutera jualan dari Syarikat Crest Nanosolution (M) Sdn. Bhd. yang turut dibantu oleh dua jurutera teknikal syarikat, Encik Noor Mohamad Firdaus Abdul Karim dan Encik Muhammad Amirul Shafiq Shufrin yang mempunyai pengetahuan luas tentang mikroskop. Bengkel ini dibahagikan kepada dua sesi di mana pada sesi pagi, taklimat mengenai tatacara pengendalian mikroskop telah dijalankan, manakala aktiviti hands on mengenai penyelenggaraan dan penjagaan mikroskop dilakukan pada sesi petang.

 

Bengkel pengendalian dan penyelenggaraan mikroskop ini sangat penting memandangkan mikroskop merupakan salah satu alatan penting di dalam elemen pengajaran dan pembelajaran di Unit Biologi. Pada masa ini, terdapat sekurang-kurangnya 100 buah mikroskop yang perlu dijaga dan di selenggara dengan baik untuk memastikan keberkesanan penggunaannya.

Semoga penganjuran bengkel ini menambah pengetahuan dan kemahiran pengendalian mikroskop kepada para staf makmal, pensyarah, dan pelajar untuk mengoptimumkan jangka hayat dan menjimatkan kos penyelenggaraan mikroskop. Bengkel ini juga diharapkan mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan penyelidikan di dalam bidang biologi di UiTM Pahang Kampus Jengka.