Sungai Buloh, 6 Januari 2024 – Suasana ceria memenuhi Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras pada hari ini apabila sebuah program pengurusan kewangan yang disampaikan oleh Puan Afika Syafrizon dari Principal Berhad telah membawa pengalaman dan pengetahuan praktikal dalam penyampaian ceramahnya yang bertajuk “Managing Pocket Money”. Program ini merupakan inisiatif di bawah Kementerian Pengajian Tinggi melalui program Service Learning – University for Society (SULAM), dengan tujuan memberikan pemahaman tentang pengurusan kewangan kepada golongan anak muda, khususnya dalam kalangan penghuni Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras.
Dalam program ini, pelajar dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, yang mengikuti program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, telah memanfaatkan peluang ini untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam mata Pelajaran Personal Financial Planning (FIN533) dalam situasi sebenar.
Menurut Dr. Hairulnizam bin Hashim, pensyarah selaku penasihat program SULAM menyatakan bahawa tujuan utama program ini adalah meningkatkan pemahaman penghuni Rumah Kasih Harmoni, terutama anak muda tentang kepentingan pengurusan kewangan. Beliau menyatakan “ceramah in memberikan platform kepada pelajar untuk berkongsi pengetahuan dan langkah positif dalam memberikan ilmu praktikal kepada mereka serta membantu mereka memahami nilai penting bagi memberi impak positif dalam kehidupan seharian mereka”.
Puan Afika Syafrizon telah menyampaikan ceramahnya dengan penuh kearifan, membuka tirai kearah strategik praktikal dan menguruskan kewangan dengan bijak. Penghuni Rumah Kasih diberi peluang untuk bertanya soalan dan berkongsi pengalaman mereka, menjadikan sesi ini interaktif dan memberi impak yang lebih mendalam.
Sebagai tambahan kepada ceramah, aktiviti-aktiviti menarik seperti permainan Jutaria, Crossword dan kuiz secara digital yang menggunakan aplikasi Kahoot juga turut diadakan. Aktiviti ini tidak hanya menyeronokkan penghuni, tetapi juga memberi mereka peluang untuk mengaplikasikan konsep-konsep pengurusan kewangan yang telah dipelajari dalam suasana santai dan berinteraksi.
Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan untuk memberi manfaat bersama. Harapannya, kejayaan ceramah ini akan menjadi peringkat permulaan kepada satu gelombang transformasi kewangan dalam kalangan penghuni Rumah Kasih Harmoni, terus memberi impak positif dalam membentuk generasi muda yang lebih cakna dalam pengurusan kewangan mereka.