Program Komuniti Sosial dan Penyediaan Pelan Tindakan Desa – Kampung Kundur Hulu, Rembau, Negeri Sembilan

5-7 Januari 2024 – Dengan niat berkongsi ilmu, menyemai budi serta semangat kesatuan dan kesukarelawan yang berkobar, seramai 27 orang pelajar semester empat (Kumpulan CFAP2214A), Program Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar bersama dua pensyarah pengiring iaitu Dr Muhamad Ferdhaus bin Sazali dan Prof. Madya Gs. Dr. Mohd Fadzil bin Abdul Rashid telah berkunjung ke Kampung Kundur Hulu untuk menjayakan program komuniti sosial dan SULAM sesi 2023/2024. Program tersebut berlangsung selama tiga hari iaitu dari 5-7 Januari 2024. Pada dasarnya, program ini dilaksanakan bagi memenuhi kehendak silibus Subjek TPR 482 (Social & Community Planning) dan Subjek TPR 512 (Regional Planning & Development).

Program ini telah membuka ruang dan peluang seluasnya kepada para pelajar untuk mengaplikasikan ilmu perancangan bandar dan wilayah, khususnya kaedah penyediaan Pelan Tindakan Desa kepada komuniti ke arah mencapai inspirasi desa dan komuniti lestari seiring dengan Sustainable Development Goals. Sasaran penyertaan komuniti adalah menyeluruh merangkumi ahli jawatankuasa pengurusan dan keselamatan kampung (JPKK), local champion,  dan warga masyarakat Kampung Kundur Hulu. Ini bersesuaian dengan pendekatan ‘participative’ yang digariskan dalam proses penyediaan pelan tindakan desa bagi memastikan setiap langkah yang diambil berupaya membawa manfaat yang besar kepada individu dan komuniti warga desa secara menyeluruh.

Ketibaan para pelajar dan pensyarah pengiring telah disambuat mesra oleh Pengerusi JPKK Kampung Kundur Hulu sendiri yang  mesranya dipanggil Tok Ketua iaitu Tuan Ramadan bin Mohd Taf. Semua ahli rombongan dijemput ke majlis doa selamat di Restauran Wangi Salai yang diatur bersempena dengan kunjungan para pelajar dan pensyarah ke Kampung Kundur Hulu.

[Gambar 1 & 2:     Majlis Doa Selamat dan Makan Tengahari bagi menyambut kedatangan para pelajar dan pensyarah pengiring di Restoran Wangi Salai yang ditaja penuh oleh Tok Ketua Kampung Kundur Hulu, Tuan Ramadan bin Haji Mohd Taf bersama barisan jawatankuasa Masjid Kariah Kundur Hulu]

Aktiviti pertama para pelajar di Kampung Kundur Hulu adalah membuat lawatan di sekitar kampung berasaskan kaedah ‘minda dan perasaan’ bagi mengenal pasti dan memahami isu/masalah dan potensi serta situasi semasa kampung. Peringkat ini dikenali sebagai peringkat membangunkan data bestari kampung yang digariskan dalam proses penyediaan pelan tindakan desa. Lawatan ini membantu para pelajar membuat persediaan sebelum perbincangan lanjut bersama wakil penduduk dan kepimpinan masyarakat dan komuniti yang dijemput.

[Gambar 3 & 4.     Lawatan dan tinjuan tapak di sekitar Kampung Kundur Hulu dan berjumpa warga kampung untuk sesi temubual ringkas]

Dalam epik penuh bersemangat dan berani, para pelajar dibantu para pensyarah pengiring telah mengendalikan Program SULAM dan penyediaan Pelan Tindakan Desa Kampung Kundur Hulu dengan jayanya bersama wakil JPKK, local champion, tokoh masyarakat dan
warga penduduk pada 6 Januari 2024. Pada sesi ini turut diisi dengan perkongsian oleh local champion (usahawan-usahawan berjaya) dan tokoh masyarakat yang membekalkan maklumat penting bagi penyediaan pelan tindakan desa yang lestari dan mesra rakyat. Kampung
Kundur Hulu pernah dinobatkan sebagai pemenang anugerah “My Kampung My Future’ pada tahun 2017, anjuran Kementerian Pertanian dan Asas Tani. Anugerah ini dan beberapa anugerah lain yang dicapai oleh Kampung Kundur Hulu adalah kerana berkat kerjasama pintar seluruh warga kampung sesuai dengan tema wawasan kampung iaitu “Sepakat Berkat”.

[Gambar 5 & 6. Sesi perbincangan berlangsung di Balai Raya Kampung Kundur Hulu bagi penyediaan pelan tindakan desa bersama wakil JPKK, local champion, tokoh masyarakat dan warga penduduk]

Pada sebelah petangnya, program bersama warga penduduk di Kampung Kundur Hulu turut dilanjutkan dengan aktiviti-aktiviti sukan rakyat. Ramai warga kampung yang terdiri daripada kanak-kanak, belia, kaum ibu dan bapa yang menyertai dan memeriahkan acara. Program sebegini telah dirangka bagi merapatkan hubungan silaturrahim, membina jati diri dan kemahiran pelajar mengendalikan aktiviti dan berkomunikasi bersama komuniti. Pada sebelah malamnya pula, para pelajar disajikan dengan program Kuliah Magrib Perdana, anjuran UiTM bersama dengan Masjid Kampung Kundur Hulu. Program ini adalah sebagai pelengkap dan merupakan sumber aspirasi dan ilmu yang harus didokong dan ditimba oleh manusia yang menjadi khalifah di muka bumi ini. Hal ini dirangka selaras dengan Doktrin Perancangan Sejagat iaitu dalam membangunkan persekitaran, manusia perlu sentiasa mengingati Pencipta. Selain itu, perancangan perlu mewujudkan persekitaran kehidupan yang lengkap, memupuk kejiranan dan interaksi di kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Pembangunan lestari haruslah memastikan sumber alam dijaga sebaik mungkin agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

[Gambar 7 & 8. Aktiviti sukan rakyat yang melibatkan warga penduduk Kampung Kundur Hulu. Aktiviti ini memberikan peluang kepada warga kampung untuk bersatu dalam semangat sukan dan secara tidak langsung merapatkan hubungan sosial dan menyokong gaya hidup sihat dalam komuniti]

 

[Gambar 9 & 10. Sesi Kuliah Magrib Perdana yang berlangsung di Masjid Kariah Kampung Kundur Hulu yang disampaikan oleh Imam 2, Ustaz Sofiyuddin bin Mohd Solihin yang bertajuk Menentang Globalisasi. Wakil UiTM Cawangan Perak iaitu Dr Muhamad Ferdhaus bin Sazali menyampaikan cenderahati kepada Imam masjid selepas kuliah berlangsung]

Bagi mewarnai sesi kunjungan para pelajar ke Kampung Kundur Hulu, pada hari terakhir telah diadakan senamanrobik sebelum berlangsung program University Social Responsibility programmes (USR). Senamrobik meningkatkan keceriaan antara para pelajar dan warga penduduk, selain memupuk dan membina gaya hidup sihat. Warga sihat boleh menjamin kelestarian pemajuan kampung. USR pula berupaya membina sikap bertanggungjawab, kesukarelawan dan semangat kerjasama yang utuh dan padu di kalangan pelajar. Para pelajar dibawa ke dunia masyarakat yang sebenar untuk melatih menabur khidmat kepada warga yang memerlukan. Program gotong royong perdana bersama komuniti dan masyarakat kampung dalam usaha menyokong program University Social Responsibility (USR) adalah untuk melatih para pelajar dan para pendidik untuk memberikan semula sumbangan khidmat sosial kepada masyarakat.

[Gambar 11.     Aktiviti senamrobik yang diadakan disambut baik oleh komuniti Kampung Kundur Hulu]

[Gambar 12, 13 & 14. Aktiviti USR melalui gotong-royong yang melibatkan para pelajar dan warga penduduk kampung]

Acara kemuncak yang dirangkakan oleh para pelajar dengan kerjasama oleh Tok Ketua dan JPKK adalah Majlis Penutup yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Adun Chembung iaitu Dato’ Zaifulbahri bin Idris. Acara ini dimeriahkan lagi dengan sesi penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Turut menyumbangkan hadiah tanpa dirancang ialah Tok Ketua sendiri (pemilik Restauran Wangi Salai), Gerobok Salai, dan Mutiara Kayamas Sdn. Bhd. yang menaja hadiah berbentuk basikal kepada pemenang cabutan bertuah khas yang disampaikan oleh Dato’ Zaifulbahri bin Idris.

[Gambar 15, 16 & 17. Yang Berhormat Adun Chembong bersama barisan VIP di Majlis Penutup dan sesi penyampaian hadiah]

[Gambar 18. Sesi bergambar bersama Yang Berhormat Adun Chembung, Dato’ Zaifulbahri bin Idris, Tok Ketua, pensyarah pengiring dan para pelajar di akhir Majlis Penutup]

Secara kesimpulannya, Program Komuniti Sosial dan Penyediaan Pelan Tindakan Desa Bersama Masyarakat Kampung Kundur Hulu, Rembau, Negeri Sembilan ini telah berlangsung dengan jayanya. Hasil daripada program selama 3 hari 2 malam ini, para pelajar telah didedahkan dengan suasana dan cara hidup kampung, khidmat sosial dan lebih penting adalah mereka berupaya berkongsi idea dan tenaga serta menimba ilmu dan pengalaman dalam proses penyediaan pelan tindakan desa. Sumbangan akademik ini adalah berbentuk penyelidikan translational yang bakal memberikan impak baik kepada kedua belah pihak iaitu komuniti kampung dan para pelajar sendiri