KOR SISPA UCS PELAJARI SIMULASI NYATA DALAM LATIHAN MEDAN PENGURUSAN ASAS BENCANA

Baru-baru ini, Kor SISPA UiTM Cawangan Selangor (UCS) telah menjalani Kursus Latihan Medan (Pengurusan Asas Bencana) bagi meningkatkan kecekapan Pegawai Kadet SISPA (PKS) dalam Pengurusan Bencana dengan terus memperkukuhkan kemampuan para peserta dalam menyediakan bantuan serta menyelamat dalam situasi kecemasan. Program selama 3 hari 2 malam ini melibatkan seramai 82 anggota Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) UiTM Cawangan Selangor di Kem Latihan dan Rekreasi Batu 20, Sungai Congkak, Hulu Langat. Adapun, latihan medan ini bukan sekadar berkaitan kecekapan teknikal dalam situasi kecemasan, tetapi kursus ini juga selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) dalam mengintegrasikan SDG iaitu SDG 3: Kesihatan dan kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan berkualiti, SDG 17: Kerjasama untuk mencapai matlamat. Kursus ini merupakan satu langkah proaktif untuk mempersiapkan peserta dari kalangan PKS, dalam penyelamatan dan pertahanan awam sambil memastikan kelestarian dan keselamatan komuniti secara menyeluruh.

Sebanyak 10 slot perkongsian ilmu pengurusan asas bencana telah disampaikan oleh para jurulatih jemputan yang berpengalaman dari Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA), barisan pegawai-pegawai bersekutu dan juga melibatkan kerjasama alumni SISPA yang terdiri daripada Pegawai Muda (YO). Antara slot-slot yang disampaikan adalah kesiapsiagaan awam, perlindungan rakyat serta pengurusan bencana, penerangan mengenai struktur organisasi, latihan-latihan dan peranan sebenar APM dalam menghadapi bencana. Dalam pada itu juga, Taklimat Keselamatan Komunikasi Radio Walkie Talkie, Asas Pertolongan Cemas: CPR dan Choking yang turut disampaikan oleh jurulatih daripada PDPA Kuala Selangor yang berpengalaman. Para peserta juga diajar cara untuk mengendalikan dan menguruskan situasi semasa bencana berlaku melalui pembelajaran slot Pengenalan Pengurusan Asas Bencana bagi menghadapi situasi kecemasan diluar jangkaan. Slot Asas Menyelamat Kecemasan seperti Darling Carry, Drag Technique, Blanket Drag turut diajarkan kepada para peserta yang hadir. Program pada hari kedua telah dipimpin oleh Ketua Jurulatih Kor SISPA UCS, Sarjan (PA) Muhammad Ropfi Bin Ahmad bagi mempelajari ilmu berkaitan kepentingan Ikatan dan Simpulan: Tali serta Kawad Usungan. Turut diajarkan kepada peserta yang hadir adalah teori dan praktikal balutan bagi merawat mangsa yang mengalami kecederaan tulang, sendi dan otot serta luka terbakar, melecur dan kebakaran.

Sebelum majlis penutup, para peserta telah dikumpulkan bagi menjalani latihan simulasi sebenar berkaitan slot-slot yang telah dipelajari. Kali ini, simulasi menyelamat mangsa kapal terbang terhempas telah dijalankan. Seramai 15 orang mangsa telah disiapkan dengan pelbagai jenis kecederaan dan ditempatkan di kawasan hutan di mana kapal terbang telah terhempas, dan mereka perlu diselamatkan. Para peserta di minta untuk mengaplikasikan segala pembelajaran yang telah diberikan sepanjang kursus untuk melaksanakan aktiviti menyelamat dengan sebaik mungkin dan dinilai. Majlis Penutup kursus ini telah dirasmikan oleh Leftenan Kolonel (PA) Prof Madya Dr. Badrul Bin Isa, Timbalan Komandan Kor SISPA UCS. Dalam ucapannya, beliau mengharapkan pelaksanaan kursus latihan medan ini perlu disertai dan dirasai oleh semua anggota kerana para anggota bukan sahaja dapat mempelajari ilmu yang pelbagai, tetapi juga dapat merasai pengalaman menyelamat dalam situasi sebenar yang mungkin tidak dapat dirasai di tempat lain. Program berilmiah seperti ini wajar dilaksanakan dan diteruskan pada masa akan datang dengan simulasi yang berlainan bagi melahirkan lebih ramai lagi pegawai yang berkebolehan mengaplikasikan ilmu asas pertolongan cemas dan berani menyelamat dalam pelbagai situasi kecemasan.