Program Permata Pintar

Shah Alam, 2 Disember 2023 – Buat julung kalinya, Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Shah Alam telah berkolaborasi dengan Sekolah Kebangsaan Shah Alam, Seksyen 16, Shah Alam untuk menjayakan Program Permata Pintar (PPP) pada tahun ini. Program ini merupakan projek Perantisan IAB anjuran bersama Panitia Bahasa Melayu dan Program Pemulihan dengan kerjasama APB. Melalui kerjasama ini, APB telah berkongsi kepakaran bahasa Melayu dengan memberikan pendedahan kepada penulisan dan penghasilan karya pantun. PPP merupakan satu usaha pihak sekolah untuk membantu murid Tahap 2 meningkatkan tahap penguasaan kemahiran bahasa Melayu ke tahap tertinggi (TP6).

Program selama lapan minggu ini bertujuan untuk membantu murid-murid Tahap 2 (darjah 4-6) yang terpilih dan berpotensi untuk digilap bakat mereka bagi mencapai tahap penguasaan kemahiran berbahasa (TP6). Mereka telah dilatih dengan sistematik oleh kumpulan fasilitator yang terdiri daripada pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, APB. Aktiviti berbentuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas dijalankan secara dalam talian melalui platform Google Meet setiap hari Sabtu selama 1 jam.

Objektif PPP ialah untuk membantu murid menguasai kemahiran asas kemahiran berbahasa Melayu, meningkatkan bilangan TP6 di dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan membina hubungan baik antara sekolah dan UiTM.

Usaha APB dalam membantu pihak Sekolah Kebangsaan Shah Alam untuk memelihara dan mempertingkatkan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu diharapkan dapat memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pensyarah serta membuahkan ketampakan APB.