SERI ISKANDAR – Pada 9 November 2023, Majlis Perasmian Pameran Tanah Abang Ke Bukit Chandan: Pameran Visual dan Bicara Sejarah Kesultanan Perak telah berlangsung di Galeri Al Biruni, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar.
Objektif pameran ini diadakan adalah untuk membuka mata, pengalaman dan pengetahuan seni tentang sejarah Kesultanan Perak kepada masyarakat, peminat seni dan golongan terlibat. Selain itu, pameran ini juga memberi fokus kepada bidang seni sempena tahun melawat Perak 2024.
Pameran Tanah Abang Ke Bukit Chandan: Pameran Visual dan Bicara Sejarah Kesultanan Perak yang dianjurkan oleh Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Perak ini juga merupakan kesinambungan dari pameran ‘Pasir Salak ke Kuala Kangsar’ yang pernah diadakan pada tahun 2008. Bagi pameran kali ini yang membawa tema Sejarah Kesultanan Perak bertitik tolak daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam Kesultanan Perak dan juga perihal kehidupan masyarakat, amalan serta adat istiadat yang diamalkan di Negeri Perak.
Beberapa aktiviti juga akan berlangsung melalui program ini diantaranya adalah Bicara Sejarah iaitu bual bicara khusus kepada pelukis yabg melibatkan pakar rujuk yang dijemput khas bagi membicarakan tentang sejarah Kesultanan Perak, dan bual bicara umum secara terbuka kepada semua peminat seni dan sejarah negeri Perak.
Pameran visual juga yang bertemakan ‘Tanah Abang ke Bukit Chandan’ akan berlangsung selama sebulan yang melibatkan seramai 80 orang seniman UiTM Perak dari pelbagai latarbelakang kepakaran seperti Seni Halus, Seramik, Fesyen, Fotografi & Pengimajan Kreatif, dan Grafik & Media Digital.
Program-program yang telah dirancang ini menyasarkan peminat seni, pengamal industri, seniman, komuniti Perak, pensyarah dan pelajar university awam dan swasta, para guru dan pelajar sekolah sekitar Perak dan warga UiTM sendiri.
Majlis pelancaran projek karya seni visual ‘Tanah Abang ke Bukit Chandan’ telah disempurnakan oleh Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar DiRaja, Ybhg Dto’ Ts. Dr. Haji Ahmad Ruslan Bin Mohd. Ridzuan, D.P.M.P Orang Besar Jajahan Perak Tengah, dan disaksikan oleh para tetamu kehormat Prof. Madya Dr Nur Hisham Ibrahim (Rektor UiTM Cawangan Perak), Dato’ Prof. Dr.Abdullah Mohamad Said, Prof. Madya Ts. Dr.Norhayati Binti Baharun (Tim. Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Perak), Prof. Madya Sr. Dr Mohd Azian Zaidi (Tim. Rektor Hal Ehwal Pelajar), dan Dr. Aznan Omar (Ketua Pusat Pengajian Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Perak).