KEM KEPIMPINAN “YOUNG CEO DAY OUT” PROGRAM BERSEMPENA CUTI SEKOLAH ANJURAN PUSAT PENGAJIAN PENGURUSAN GUNAAN (PPPG) UiTM CAWANGAN PAHANG

Jawatankuasa Penjanaan Dana dan Pemindahan Ilmu (PDPI), Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah berjaya merealisasikan satu program kem kepimpinan bersempena cuti sekolah yang dinamakan “YOUNG CEO DAY OUT” pada 28 Ogos 2023 dan bertempat di Auditorium Al-Biruni 1, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.  Program ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan seramai 87 orang murid-murid sekolah rendah kebangsaan sekitar Bandar Jengka berumur dari 10 hingga 12 tahun  telah menyertai program ini.

Di dalam dunia yang serba mencabar masa kini, terutamanya masa hadapan yang lebih kompleks dan tidak menentu, negara memerlukan pemimpin masa hadapan yang mampu serta berdaya tahan bagi memacu Malaysia seiring dengan kemajuan arus perdana.  Kita harus memastikan kemajuan bukan sahaja dari segi fizikal malah ianya perlu seiring dengan kekuatan rohani yang  mana ianya harus dipupuk di kalangan rakyat sejak dari bangku sekolah lagi.

Di atas kesedaran ini, Jawatankuasa PDPI Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG) UiTM Pahang telah mengambil inisiatif menganjurkan program Young CEO Day Out  ini bertujuan untuk melatih, mendedahkan dan melahirkan murid-murid yang berkebolehan untuk memimpin, mempunyai jati diri yang teguh,  semangat kerja berpasukan dan sifat asertif diri yang tinggi.

Di antara pengisian program kem kepimpinan ini adalah ceramah kepimpinan (interaktif),  Senario Taman Haiwan, Ikatan Sang Labah-Labah, Tatkala Kita Bersatu, Kapal Terbang di Awan Biru dan Menara Impian.  Peserta juga telah dibawa ke Perpustakaan Al-Bukhari untuk sesi lawatan bagi mendapatkan pendedahan tentang perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan di perpustakaan.  Di akhir program pula telah diadakan pertandingan mewarna bertemakan hari kemerdekaan.

Selain daripada kepentingan di atas, program ini juga menyokong seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencapai keamanan dan kemakmuran menjelang 2030 melalui kempen “Sustainable Development Goals” terutamanya SDG4 (Quality Education) dengan menjelaskan peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin kepada pelajar serta meningkatkan pembangunan diri dan motivasi mereka sedari umur muda di samping mengasah serta menyerlahkan bakat serta potensi kepimpinan yang ada di dalam diri pelajar.