Buat julung kalinya, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar di bawah kepimpinan Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Puan Siti Basriyah Shaik Baharudin telah berjaya menganjurkan Program Book Launching dan Meet & Greet Bersama Penulis pada 11 Oktober 2023. Program tersebut berlangsung secara fizikal di aras 1 perpustakaan dan dianggarkan seramai 60 peserta termasuk pelajar, pensyarah dan pegawai pengurusan universiti telah hadir menyertainya.
[Gambar 1. Sesi Perasmian Book Launching di PTAR UiTM Cawangan Perak]
Pada sesi pertama Book Launching, dua buah buku akademik telah dirasmikan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Puan Jona Hidayati Qamaruzzaman, dan disaksikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Norhafizah Abdul Rahman, Ketua Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Alam Bina, UiTM Cawangan Perak. Dua buah buku ilmiah tersebut telah dikarang oleh Dr Lim Seng Boon, Pensyarah Kanan Program Perancangan Bandar dan Wilayah, Kolej Alam Bina, UiTM Cawangan Perak. Buku pertama bertajuk Bandar Pintar Ubiquitous (U-City): Konsep dan Pelaksanaan Pembangunan Bandar Masa Hadapan, dan kedua berjudul Pembangunan Bandar Pintar Berpusatkan Rakyat Di Malaysia. Kedua-dua buku tersebut bertemakan konsep Bandar Pintar dan dikupas dari perspektif bidang perancangan bandar. Susun atur dan struktur kandungan dipercayai mampu menarik pembaca untuk memahami kupasan isu, cabaran dan potensi berkaitan pembangunan bandar pintar masa hadapan mengikut citra acuan Malaysia.
Dua Buah Buku Bandar Pintar yang Diterbitkan oleh Dr Lim Seng Boon Telah Dilancarkan
Pada sesi kedua Meet & Greet Bersama Penulis, dua pakar akademik bandar pintar iaitu Ts Dr Noor Aimran Samsudin (Pensyarah Kanan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru) dan Prof. Madya Gs. Dr. Mohd Fadzil Abdul Rashid (Pensyarah Kanan, Kolej Alam Bina, UiTM Cawangan Perak) telah dijemput untuk memberi ulasan dan cadangan penambahbaikan terhadap penulisan buku oleh Dr Lim. Dr Aimran menyatakan kepentingan penerbitan buku Bandar Pintar Ubiquitous City (atau U-City) dapat memperkukuhkan dan memberikan kefahaman kepada pembuat dasar/ garis panduan/ blueprint di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta menyumbang kepada korpus ilmu berkaitan ‘Bandar Pintar’ dari perspektif Malaysia. Menurut beliau penerbitan buku U-City tersebut berpotensi dijadikan rujukan umum kepada para pelajar tempatan bagi memahami diskusi konsep pembangunan bandar pintar masa hadapan dari perspektif perancangan bandar.
Pada buku kedua pula – Pembangunan Bandar Pintar Berpusatkan rakyat di Malaysia, Dr. Fadzil berpendapat penulis berusaha mempromosikan idea (gagasan) dan pemikiran baharu iaitu konsep pembangunan bandar pintar berpusatkan rakyat (human-centric). Idea tersebut merupakan suatu gagasan pendekatan yang sangat relevan di era teknologi digital (memanusiakan teknologi) dalam pemikiran membangunkan sesebuah bandar pintar yang mengutamakan suara rakyat, mengurangkan pembaziran dan bersesuaian dengan sumbangan penduduk tempatan. Dr. Fadzil juga mengesyorkan buku tersebut dijadikan rujukan pelajar, penyelidik, dan PBT, mahupun ahli politik dan penggubal polisi.
Kelangsungan Meet & Greet Bersama Penulis.
Kiri: En Azim, Dr Lim, Dr Aimran, dan Dr Fadzil
Selain penjelasan, ulasan daripada penulis dan pengulas buku, acara Meet & Greet tersebut juga disambut baik oleh pertanyaan soalan-soalan menarik daripada para pelajar Sarjana Muda Program Perancangan Bandar dan Wilayah (CFAP221), iaitu saudari Nur Shaqeerah Binti Kamarudin (Part 06A) dan Saudara Mohamad Hazmie Fikrie Bin Azarulazli (Part 04A). Saudara moderator En. Muhamad Azim bin A’nsori (Ketua Unit Perkhidmatan Pelanggan Dan Unit Perpustakaan Digital) juga berasa teruja dengan minat pelajar terhadap topik bandar pintar yang dibincangkan.
Suasana sesi soal jawab pada acara Meet & Greet.
Secara keseluruhannya, program Book Launching dan Meet & Greet Bersama Penulis ini merupakan suatu usaha yang sangat signifikan khususnya dalam ekosistem dan telah mencapai tiga objektif penganjuran, iaitu 1) demi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan warga kampus, 2) memenuhi KPI Program Read@UiTM di bawah PTAR UiTM Cawangan Perak, serta 3) mempromosikan penulisan bahan ilmiah para akademik. Dengan aktiviti sedemikian, diharapkan pada masa hadapan, PTAR UiTM Cawangan Perak dapat meneruskan usaha sedemikian agar dapat mendorong lebih ramai pensyarah berminat untuk menerbitkan buku akademik dan bersama-sama merealisasikan UiTM sebagai Globally Renowned University 2025 (GRU2025).