SONGKHLA, 3 Oktober 2023 – Program Pengantarabangsaan dari Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan kali ini telah memilih negara Thailand sebagai penanda aras dan negara untuk dilawati. Program ini telah disertai seramai 17 jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada pelajar Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian. Program ini bermula dari 21 sehingga 24 September 2023.
Pada hari yang pertama 21 September 2023 dimana para peserta telah bertolak ke Padang Besar, Perlis dan telah menjalankan LDK1 iaitu “Dibawah Langit Perlis” dimana jawatankuasa mengeratkan lagi ikatan hubungan silaturrahim diantara mereka sebelum bermula program menjejak melayu di bumi Thailand dijalankan.
Pada hari kedua, 22 September 2023 peserta bertolak ke Songkhla, Thailand melalui Sempadan Malaysia -Thailand di Padang Besar, Perlis. Pada hari kedua dengan bertemakan Keusahawanan dimana peserta melawat Ranu Kohyo (Kilang Gajus), Big Bee Farm (Kilang Madu Lebah), Khlong Hae Floating Market, dan ASEAN Night Bazaar. Barisan JPK telah melihat bagaimana rancaknya keusahawanan di tempat yang dilawati ini. Pelajar di UiTM yang masih lagi melanjutkan pengajian amat digalakkan menceburi bidang keusahawanan bagi melengkapkan diri dengan nilai tambah yang lain. Keusahawanan itu dianggap sebagai satu bidang yang patut diceburi oleh mahasiswa walaupun tidak mempunyai kepakaran yang menyeluruh dalam usaha mengelakkan pengangguran.
Pada hari ketiga pula 23 September 2023 dengan bertemakan Diplomatik-Kebudayaan. Langkah dimulakan dengan Sesi JPK-PSU Cultural Exchange Program diantara 17 orang Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) UiTM Sungai Buloh bersama 25 pelajar daripada Dormitory Student Committee, Prince of Songkla University (PSU) Hatyai Campus. Sesi ini turut dihadiri oleh Dr. Phanida Sukseemuang, (Penolong Presiden Pembangunan Pelajar) Prince of Songkla University (PSU). Manakala wakil dari Unit Pengurusan Kolej UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan adalah Puan Nurul Nadzirah Ismail (Penolong Pendaftar), Puan Noor Aznie Aziz (Pegawai Eksekutif) dan Puan Suhaili Ajib (Penolong Pengurus Asrama). Para pelajar PSU telah mendapat pengalaman bermain permainan tradisional masyarakat di Malaysia sambil menggunakan pakaian tradisional masyarakat di Malaysia.
Hari ketiga diteruskan dengan lawatan pelajar ke Khao Tang Kuan yang menempatkan Royal Pagoda yang menyimpan budaya masyarakat Thailand. Kemudiannya pelajar ke Pantai Samila dan diakhiri dengan Lee Garden Night Market. Pada hari terakhir program ini, 24 September 2023 kembali menggunakan tema Keusahawanan. Pelajar dapat melawat Kaysorn Souvenir dan tidak lupa juga Kim Yong Market dimana pelajar dapat berinteraksi secara langsung dengan masyarakat Songkhla, Thailand yang merupakan keturunan Melayu Pattani menggunakan dialek Bahasa Melayu yang dikenali sebagai Kecek Nayu (Dialek Melayu di Selatan Thailand). Perkara ini sejajar dengan objektif program untuk menjejak wilayah dan masyarakat Melayu di Selatan Thailand.
Banyak pengalaman dan objektif program yang telah dapat dicapai bagi Program Pengantarabangsaan pada kali ini. Semoga galakan dan sokongan yang diberikan oleh pihak pengurusan ini dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk terus meneroka dunia luar dan meletakkan nama UiTM di peringkat antarabangsa sejajar dengan Pelan Strategik Uitm 2025 : Menyerlahkan Potensi Membentuk Masa Hadapan.