PUNCAK ALAM, 28 Ogos 2023 – Kosmik by Bold, pameran tahun akhir pelajar Sarjana Muda Seni Reka Grafik (Kepujian) Bidang Seni Reka Grafik dan Media Digital telahpun berlangsung dengan jayanya, pada 9-10 Ogos bertempat di Entrance & Lakeside Gallery, Kompleks Alam Bina dan Seni Reka, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Kampus Puncak Alam. Program penting pada setiap penghujung semester anjuran pelajar tahun akhir ini merupakan sebahagian daripada keperluan pengajian bagi para pelajar yang bakal bergelar graduan dan memasuki alam pekerjaan tidak lama lagi.
Pada pameran kali ini, sebanyak 124 hasil kerja kreatif para pelajar telah dipersembahkan kepada orang awam, khususnya pihak industri, pelajar-pelajar IPTA/IPTS dan sekolah. Selaras dengan idea Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat tempatan ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan menjelang 2030, hasil kerja para pelajar membawakan pelbagai agenda yang berkait dengan isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan, pencemaran alam sekitar dan pembentukan pendidikan berkualiti.
Pameran ini menjadi wadah bagi para bakal graduan grafik untuk menunjukkan potensi dan kualiti karya mereka kepada masyarakat awam. Disamping itu, mereka juga dapat berinteraksi dengan para profesional industri yang sedang mencari bakal tenaga kerja yang berkemampuan di bidang seni reka grafik dan media digital. Pameran ini membantu memperluaskan jaringan serta hubungan antara universiti dan industri dengan memperkenalkan potensi para bakal graduan grafik yang menepati keperluan industri.
Beberapa rakaman momen gembira, bangga, sedih dan sayu yang sempat dirakam sebagai bukti hasil jerih payah para pelajar yang bertungkus lumus selama pengajian sehinggalah ke acara penamat yang berlangsung dengan gemilang. Acara penutupan telah dirasmikan oleh alumni jabatan Seni Reka Grafik, UiTM sendiri, En Abdul Hafiz Abdul Rahman, yang merupakan pengasas bersama 4 Stages, firma pengurusan artis. En Abdul Hafiz, atau dikenali sebagai Katun, kini merupakan ilustrator dan artis graffiti peringkat antarabangsa dengan kolaborasi karya bersama jenama terkenal seperti Vans, KFC, Footlocker, Post Malone dan Dua Lipa. En Hafiz juga telah menerima pengiktirafan Tatler 2022 “Generation T, Sekumpulan Pemimpin Industri Generasi Akan Datang”
Terima kasih diucapkan kepada Ketua Bidang Grafik dan Media Digital, En.Ezal Daud yang menjadi tulang belakang para pelajar dan pensyarah dalam menjayakan acara ini. Jutaan tahniah kepada para pensyarah penyelia Pn. Ainun Jariah Yaacob, Pn. Farrah Aini Lugiman, Pn. Nik Atilla Atasha Shamsuddin, Pn. Farhanah Abu Sujak, Pn. Lili Eliana Mohd Radzuan, En. Mohd Faizol Haini dan Pn. Nurul Husna Abdul Razak yang gigih membimbing para pelajar dalam tugasan Final Year Project dan terima kasih juga buat semua pensyarah-pensyarah grafik yang telah mendidik para pelajar sehingga tamat pengajian.
Titipan nasihat buat para pelajar, bersedialah untuk cabaran. Realitinya, hidup selepas tamat pengajian mungkin tidak selalu indah. Cabaran dalam mencari pekerjaan, cabaran menyesuaikan diri dengan rutin hidup yang baru atau cabaran dalam menyesuaikan diri dengan tanggung jawab sebagai seorang dewasa. Bersiaplah untuk menghadapi segala cabaran dengan sikap yang positif dan komitmen untuk terus belajar dan mempertingkatkan kemahiran diri. Percayalah kepada kemampuan diri dalam mencapai impian dan tujuan hidup. Usaha, doa dan bertawakal kepada Allah supaya setiap yang diusahakan mendatangkan kebaikan buat diri, keluarga dan masyarakat. Selamat berjuang dan semoga sukses!
Puncak Alam tasiknya tenang,
Pohon merimbun hijau daunnya,
Hanya yang rajin akan menang,
Mereka yang tekun akan berjaya.