“MEMPERKASAKAN TEKNIK PENULIS: BENGKEL HAND IN HAND INITIATIVE (HIHI) UNTUK MENCAPAI MATLAMAT PENULISAN DAN PENERBITAN”

TAPAH, 15 April 2023 – Fakulti Sains Gunaan (FSG) UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah berjaya mengadakan Bengkel Hand In Hand Initiative (HIHI) secara pertemuan fizikal. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk mengatasi beberapa cabaran yang terpaksa dilalui oleh para pensyarah dalam dunia penulisan dan penerbitan disebalik tugas pengajaran dan pembelajaran yang sangat kompleks selari dengan masa kini. Tambahan pula, bengkel Hand In Hand Initiative menggunakan pendekatan holistik dalam penulisan dan penerbitan. Ia bukan sahaja memberi tumpuan kepada mengasah kemahiran menulis tetapi juga menyediakan panduan untuk mengemudi landskap penerbitan.

Bengkel ini disertai oleh 44 orang pensyarah daripada bidang Fizik, Biologi dan Kimia Fakulti Sains Gunaan Kampus Tapah. Ia dimulai dengan sesi perkongsian daripada “field expert” yang telah dilantik oleh fakulti iaitu Dr Hasnun Nita binti Ismail. Beliau telah berkongsi tips bagaimana untuk memulakan penulisan artikel, perkara yang harus ditekankan apabila sedang menulis artikel dan juga bagaimana untuk menyiapkan penulisan sehingga ia artikel berjaya diterbitkan. Beliau juga berkongsi pengalaman beliau dalam bidang penulisan artikel prosiding berindeks di peringkat nasional dan di peringkat antarabangsa. Lebih menarik beliau mencadangkan supaya setiap artikel penulisan yang bakal ditulis harus disediakan “gantt chart” supaya kita tahu sela masa yang sepatutnya disiapkan sebelum manuskrip dihantar ke pihak penerbitan.

Dalam bengkel ini, para pensyarah yang hadir dibekalkan dengan satu borang sasaran penerbitan sebagai indikasi pencapaian bagi setiap siri bengkel yang diadakan. Bengkel ini juga mendapat respons yang positif di kalangan pensyarah yang hadir di mana mereka berpendapat bahawa bengkel ini sesuai dilaksanakan kerana ruang masa yg diberikan dapat dimanfaatkan secara komprehensif untuk sesi penulisan yang merupakan salah satu KPI wajib bagi setiap pensyarah di UiTM. Selain itu, mereka juga yakin bahawa inisiatif bengkel ini akan lebih berjaya jika semua pensyarah yang terlibat mendapat inspirasi serta sokongan yang padu apabila masing-masing bertukar idea, berkongsi pengalaman dan meraikan kejayaan penulisan antara satu sama lain.

Kesimpulannya, dalam landskap penulisan akademik yang pantas dan kompetitif hari ini, ramai penulis terutama di kalangan ahli akademik menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan dalam mencapai matlamat penulisan dan juga penerbitan. Sama ada mengasah kemahiran mereka, termasuk kerumitan industri penerbitan, atau mendapatkan keyakinan untuk berkongsi karya mereka dengan dunia luar. Di situlah bengkel Hand In Hand Initiative berfungsi sebagai mercu tanda pemerkasaan bagi penulis yang tidak sabar-sabar untuk membuka potensi penuh mereka. Bengkel ini diterajui oleh 7 ahli jawatan kuasa iaitu Dr Siti Mazleena Mohamed, Dr Nurul Izza Taib ,Puan Rabiatul Adawiyah Abdul Wahab, Puan Rosmawati Abdul Aziz, Puan Adibah Mohd Noor, Puan Northaqifah Hasna Mohamed Khir dan Puan Nur Atirah Hasmi yang terdiri daripada para pensyarah daripada pelbagai bidang manakala Dr Nurul Ilham Adam selaku pengarah programnya.