SUNGAI BULOH, 10 Julai 2023 – Pejabat Penolong Rektor telah mengadakan sesi ceramah bertajuk “Isu Perolehan & Pengurusan Pembangunan” yang telah disampaikan oleh PPj Azuan bin Adzhar, Ketua Unit Perundangan dan Pemeriksaan SPRM Negeri Selangor. Ceramah ini telah diadakan pada 6 Julai 2023 di Auditorium Khalid Yusoff 1 UiTM Kampus Sungai Buloh. Para hadirin juga telah menyaksikan Tayangan Video Montaj SPRM – Berkaitan Bebas Rasuah.
Ceramah ini merupakan satu inisiatif yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertujuan memberi penekanan dan meningkatkan iltizam untuk semua menjauhi penyalahgunaan kuasa khususnya rasuah. Ianya telah dilaksanakan di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di seluruh negara. IBR ini memberikan penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela agar sentiasa komited dan bertanggungjawab di dalam tugas seharian.
Faedah program ini adalah bertujuan untuk mengurangkan isu melibatkan rasuah dan salah guna kedudukan dan memberi galakan kepada semua staf untuk melaporkan kes rasuah dan salah guna kuasa atau kedudukan kepada pihak berkuasa dan tindakan sewajarnya perlu diambil dengan kadar segera.
Turut hadir ceramah ini YBhg. Prof. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Penolong Rektor dan juga telah dihadiri seramai 120 staf UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan.