Majlis Ikrar Bebas Rasuah UiTM Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan

SUNGAI BULOH, 10 Julai 2023 – Pejabat Penolong Rektor telah mengadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah UiTM Cawangan Selangor, Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan pada 06 Julai 2023. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Alias Salim, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor dan telah dihadiri seramai 120 staf UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan terus yang sentiasa komited berkenaan isu melibatkan pencegahan rasuah dan salah guna kedudukan dan kuasa.

Ikrar Bebas Rasuah (IBR) ini merupakan satu inisiatif yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertujuan memberi penekanan dan meningkatkan iltizam untuk semua menjauhi penyalahgunaan kuasa khususnya rasuah. Ianya telah dilaksanakan di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di seluruh negara. IBR ini memberikan penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela agar sentiasa komited dan bertanggungjawab di dalam tugas seharian.

Faedah program ini adalah bertujuan untuk mengurangkan isu melibatkan rasuah dan salah guna kedudukan dan memberi galakan kepada semua staf untuk melaporkan kes rasuah dan salah guna kuasa atau kedudukan kepada pihak berkuasa dan tindakan sewajarnya perlu diambil dengan kadar segera.

Majlis melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah telah diketuai oleh YBhg. Prof. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Penolong Rektor bersama INSP/PB Hadith Bin Jamaludin, Ketua Pejabat Polis Bantuan dan semua staf bukan akademik serta disaksikan oleh semua barisan pegawai SPRM.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan penyerahan bahan kempen anti rasuah.