SHAH ALAM, 8 JULAI 2023 – UiTM Career Fair 2023 telah berlangsung dengan jayanya pada 7 dan 8 Julai 2023 bertempat di Dewan Mawar Qaseh, UiTM Shah Alam. Program berbentuk kerjaya ini merupakan program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), dan syarikat Jobstore Group Berhad sebagai penganjur bersama. Objektif utama program ini adalah untuk membuka peluang kepada penuntut UiTM untuk mengenali syarikat-syarikat daripada pelbagai latar belakang sektor industri dengan lebih dekat di samping menyediakan tempat latihan industri dan tawaran peluang pekerjaan kepada bakal graduan.
Program ini telah menyediakan lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada mahasiswa UiTM di mana 38 syarikat ternama seperti Bank Negara Malaysia, U Mobile Sdn. Bhd., VFIVE Group Sdn. Bhd., Tetra Pak (M) Sdn. Bhd. dan sebagainya telah memberikan penerangan dan pencerahan tentang syarikat mereka. Pendedahan kerjaya seperti ini secara tidak langsung telah memenuhi aspirasi BHEP bagi mencapai Performance Index (PI) ke-30 iaitu bilangan syarikat yang terlibat dalam program kerjaya sekali gus memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ke-4, 8, 9, 11 dan 17 iaitu Kualiti Pendidikan, Pekerjaan yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi, Industri, Inovasi dan Infrastruktur, Bandar dan Komuniti yang Mampan dan Kerjasama Demi Matlamat.
Program yang berlangsung selama dua hari ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor. Datuk Naib Canselor menerusi ucapannya berkata, “program sebegini secara tidak langsung dapat memberi impak kepada peningkatan kebolehpasaran graduan selaras dengan hasrat UiTM ke arah menjadi Globally Renowned University (GRU) 2025 dengan penglibatan aktif universiti bersama industri dan komuniti”. Terbukti bahawa dengan penganjuran Career Fair ini, mahasiswa UiTM dapat pendedahan secara terus berkenaan peluang kerjaya yang ditawarkan mengikut bidang ikhtisas individu.
Turut menjadi rakan penaja dan rakan kolaborasi bagi program ini ialah syarikat MOEVD, Yayasan Graduan, Key Group (AiA Public Takaful), Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (PIMPIN), Kelab Media Komunikasi (MedComm) Siswa dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman Mawar UiTM Shah Alam. UiTM Career Fair ini telah mencatat kejayaan apabila berjaya mendapatkan RM 73,000.00 tajaan secara keseluruhannya dan telah berjaya menarik lebih daripada 3,000 pengunjung selama dua hari pelaksanaannya.