SHAH ALAM, 30 Jun 2023 – Pelajar Diploma Kejururawatan menempa nama selaku pemenang pingat emas dalam acara silat olahraga di Mini Karnival Sukan Mahasiswa (KARISMA) bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Shah Alam, Selangor. Karnival yang berlangsung dari 23 hingga 27 Jun 2023 itu telah mempertandingkan pelbagai jenis sukan bagi keterlibatan mahasiswa bagi mewakili universiti ke peringkat yang lebih tinggi.
Noor Dalilah binti Ahmad iaitu pelajar tahun 3 dari Program Kejururawatan telah memenangi Silat Olahraga Puteri Kelas E (65-70kg) menewaskan wakil dari UiTM Terengganu di separuh akhir dan wakil dari UiTM Negeri Sembilan di perlawanan akhir.
Noor Dalilah telah berkecimpung dalam arena silat sejak dari usia 15 tahun lagi dengan mewakili Perak ke beberapa kejohanan kebangsaan. Antara sukan terkini yang disertainya adalah Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2022 yang diadakan di Kuala Lumpur.
Sasaran Noor Dalilah seterusnya adalah untuk mewakili Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bagi tahun 2023 yang akan berlangsung tidak lama lagi. Mari kita sama-sama doakan agar kejayaan Noor Dalilah ini menjadi pemangkin buat pelajar-pelajar UiTM terutamanya di UiTM Pulau Pinang dalam membawa nama UiTM ke peringkat antarabangsa.