UiTM LANCAR PROGRAM OUR HERO’S JOURNEY 2.0 x SOFT-LAUNCH MDIT 2023

SHAH ALAM, 16 Jun 2023 – Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berjaya melancarkan program Our Hero’s Journey 2.0 x Soft-Launch MDIT 2023. Program Our Hero’s Journey 2.0, anjuran Kelab Akademik Statistik (inStats), merupakan kesinambungan daripada program Our Hero’s Journey tahun 2022 yang telah mendapat sambutan hangat di kalangan pelajar khususnya para pelajar jurusan Statistik. Penceramah Our Hero’s Journey 2.0 adalah Cik Azmina Binti Hood, Eksekutif Komersial Analisis (Commercial Analytics Executive) di Rampai Niaga Sdn Bhd, juga merupakan alumni KPPIM UiTM Shah Alam. Turut hadir bagi merasmikan program adalah Yang Berbahagia Prof. Ts Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor, KPPIM.

Objektif utama program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan para alumni KPPIM UiTM Shah Alam yang telah menceburi bidang pekerjaan. Program ini dapat menjadi platform kepada para alumni untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta halatuju kerjaya mereka. Selain itu, program ini juga dapat memperkenalkan para pelajar tentang kerjaya sedia ada dan secara tidak langsung meningkatkan motivasi mereka supaya terus berusaha menuntut ilmu demi masa hadapan. Program turut bertujuan memantapkan persediaan pelajar berhadapan dengan cabaran memilih laluan kerjaya yang bersesuaian dengan minat mereka.

Terdapat banyak input menarik yang telah dikongsikan oleh Cik Azmina, antaranya berbentuk nasihat kepada para pelajar serta perkongsian tips mendapatkan pekerjaan dengan lebih mudah terutama semasa sesi temuduga bersama majikan. Di samping itu, terdapat juga sesi soal-jawab daripada para peserta bagi memeriahkan lagi program ini.

Program seumpama Our Hero’s Journey 2.0 menggalakkan jalinan mentor-mentee selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) ke-empat (Quality Education), lapan (Decent Work and Economic Growth) dan sepuluh (Reduce Inequalities). Pementoran juga memainkan peranan mengembangkan kecekapan kemahiran yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Dengan memupuk hubungan bimbingan sedemikian, ia membuka ruang serta peluang yang menggalakkan keterangkuman dan mengurangkan ketidaksamaan.