KUALA LUMPUR, 22 Jun 2023 – Pengajian Kejuruteraan Mekanikal UiTM Cawangan Pulau Pinang telah mengambil inisiatif mengadakan lawatan penanda aras ( benchmarking) ke dua (2) institusi pengajian tinggi iaitu UniKL-MFI dan Taylor’s University Malaysia pada 29hb – 30 Mei 2023.
Antara tujuan diadakan lawatan tersebut adalah mendapatkan maklumat-maklumat untuk penambahbaikan kurikulum pengajian kejuruteraan mekanikal selaras dengan keperluan semasa serta Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).
Dalam lawatan tersebut, pihak UniKL-MFI telah diwakili oleh Dr Mahamad Noor Wahab, Head of Section manakala Taylor’s University oleh Prof Dr Yee Wai Sim. Perbincangan yang diadakan meliputi hal-hal berkaitan Programme Educational Objective (PEO), Programme Outcomes (PO), Outcome Based Education (OBE), akademik dan kurikulum bagi program Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Sarjana Muda Pembuatan Teknologi Kejuruteraan dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal. Ia adalah sebagai persediaan untuk semakan kurikulum yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Selain itu, turut dibincangkan ialah program susulan yang boleh dilaksanakan sama ada melibatkan pelajar dan juga staf. Delegasi daripada PKM UiTMCPP juga turut dibawa melawat makmal, bengkel dan fasiliti yang terdapat di kedua-dua institusi tersebut.