BAKUL REZEKI RAMADHAN

JENGKA, 16 Jun 2023 – Pada 11 dan 12 April 2023 yang lalu, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kompleks Tok Gajah (KTG) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah mengadakan program berbentuk sumbangan yang dinamakan “Bakul Rezeki Ramadhan”. Program ini merupakan kesinambungan daripada program “Grab & Thanks” yang telah dianjurkan pada sesi lepas yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) sesi 2021/2022.

Program ini juga merupakan salah satu bukti keprihatinan pihak UiTM amnya bersama Unit Pengurusan Kolej dan Staf Residen Kolej khususnya bagi membantu mahasiswi yang memerlukan di Kompleks Tok Gajah dengan menyumbangkan bantuan makanan asas dan barangan keperluan. Program ini juga selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG), SDG 2: “Zero Hunger” dan SDG 17: “Partnerships for the Goals”, yang telah diadakan selama dua hari semasa bulan Ramadhan tahun ini iaitu pada minggu ketiga, yang bertempat di Medan Selera Kompleks Tok Gajah.

Program ini dilaksanakan bagi mencapai objektif untuk membantu meringankan beban pelajar golongan B40 di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, mendidik sikap bersedekah di bulan Ramadhan dan meningkatkan permuafakatan dengan rakan kolaborasi disamping menjaga kebajikan pelajar. Program yang telah melibatkan 100 orang pelajar daripada keluarga golongan B40 dan wakil daripada pihak UHEI, SRK dan Penolong Pendaftar Unit Pengurusan Kolej Kompleks Tok Gajah ini, telah diadakan di Medan Selera, Kompleks Tok Gajah.

Secara umumnya, program ini telah memberi manfaat serta dapat mengurangkan beban mahasiswi yang memerlukan dengan sumbangan berbentuk makanan dan barangan keperluan yang diberikan.