PROGRAM KERJASAMA DI ANTARA KOLEJ PENGAJIAN SENI KREATIF UiTM CAWANGAN PERAK DAN KOLEJ PENGAJIAN KEJURUTERAAN UiTM SHAH ALAM

SHAH ALAM, 12 Jun 2023 – Program kerjasama antara Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Cawangan Perak bersama Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) UiTM Shah Alam yang diadakan pada 30 Mei 2023 yang lalu merupakan inisiatif dan anjuran Unit University-Industry Center (UiC), Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM Perak. Program ini bertujuan untuk menghasilkan rekaan inovasi yang mampu dikomersialkan untuk menyertai pertandingan JAMES DYSON AWARD yang berlangsung bermula Mar 2023 hingga Julai 2023. Selain itu, melalui program ini juga, pelajar diberi pendedahan kepada kaedah menjalankan program kerjasama dan dalam masa yang sama memberi nilai tambah kepada perhubungan antara cawangan UiTM yang baik.

Secara khususnya objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan dan berkongsi ilmu diantara pelajar Ijazah Sarjana Muda Grafik & Media Digital, UiTM Cawangan Perak bersama pelajar Ijazah Sarjana Muda Kolej Kejuruteraan UiTM Shah Alam. Seterusnya hasil dari perkongsian ilmu dan kepakaran, para pelajar akan menyertai pertandingan-pertandingan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa diantaranya James Dyson Award (JDA) dan Invention, Innovation & Design (IID). Selain itu, program ini juga dijalankan untuk menyokong program kerjasama dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran iaitu Centre for Innovative Delivery and Learning Development (CiDL), inisiatif dari pihak UiTM bagi mengalakkan usaha program kerjasama diantara campus dan samada dari aspek program pembelajaran dan program aktiviti pelajar yang lain.

Dalam program fasa 1, setiap pelajar Grafik KPSK UiTM Perak telah menjalani proses penjanaan dan perkembangan idea bermula 3 March 2023. Rentetan dari itu, setiap pelajar KPSK UiTM Perak telah mempersembahkan idea-idea inovasi pada program yang berlangsung pada 28 hingga 30 Mei 2023 di UiTM Shah Alam. Di dalam program fasa 1 ini juga para pelajar telah menjalani aktiviti perbincangan bersama para pensyarah dan pelajar dari KPK UiTM Shah Alam. Para pelajar dari KPSK UiTM Cawangan Perak seramai 35 orang telah menjalankan sesi perbincangan di KPK UiTM Shah Alam dan diiringi seramai 5 orang pensyarah. Para pensyarah yang terlibat adalah Dr Mohd Nasiruddin Abdul Aziz, En Junid Syazji, dan En Fikri Saidi selaku pensyarah kelas. Manakala Prof.Madya. Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab Gani, Timbalan Rektor PJI&A UiTM Perak, Dr Mohd Khairulnizam Ramlie, dan En Asharaf Abdul Rahaman sebagai wakil dari UiC UiTM Perak.

Program ini telah dimulakan dengan sesi ucap aluan selamat datang oleh Professor Dr Muhammad Hussain Ismail, Pengarah Pusat Jaringan Industri UiTM mewakili KPK UiTM Shah Alam. Seterusnya majlis diteruskan dengan perkongsian maklumat oleh pensyarah Kpk UiTM Shah Alam mengenai pertandingan, syarat-syarat dan keperluan pertandingan. Pelajar seterusnya dibahagikan kepada 6 kumpulan. Setiap kumpulan diketuai oleh seorang pelajar dari KPKUiTM Shah Alam, dan 6 orang terdiri dari pelajar grafik UiTM Perak. Pelajar seterusnya mengadakan lawatan ke InnovationLab KPK UiTM Shah Alam. Sebagai penutup program fasa 1, sesi perbentangan dijalankan oleh setiap kumpulan pelajar. Setiap pelajar diberi masa membentangkan hasil perbincangan dan idea terbaik untuk dipertandingkan dipilih.

Kesimpulannya, aktiviti fasa 1 untuk Program kerjasama antara KPSK UiTM Perak dan KPK UiTM Shah Alam ini berjalan dengan lancar dan objektif aktiviti fasa 1 tercapai. Pelajar seterusnya mengambil tanggungjawab untuk menyempurnakan tugasan yang telah diberikan. Setiap pelajar akan melengkapkan tugasan untuk penyediaan program fasa 2 yang dijangka berlangsung pada bulan Julai 2023.