LAWATAN AKADEMIK “SUSTAINABLE TOURISM MANAGEMENT” PELAJAR FAKULTI PENGURUSAN HOTEL DAN PELANCONGAN (FPHP) KE ACEH, INDONESIA

ACEH, 10 Jun 2023 – Satu lawatan akademik “Sustainable Tourism Management” ke Aceh, Indonesia telah berjaya diadakan bermula dari 2hb Jun sehingga 5hb Jun 2023. Lawatan ini melibatkan seramai 23 orang pelajar Semester 5 Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Pelancongan, kumpulan HM241 5A, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), Kampus Puncak Alam, Selangor di bawah selian pensyarah Dr Khairun Najiah Ahmad.

Rangka lawatan ini juga telah melibatkan beberapa aktiviti bagi memenuhi keperluan subjek iaitu lawatan ke beberapa tempat pelancongan utama di Aceh. Satu sesi perkongsian maklumat telah diadakan diantara pelajar bersama wakil industri dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisata (DISBUDPAR) Aceh yang diketuai oleh Puan Cut Nurmarita yang merupakan Sekretariat Dinas Kebudayaan dan Pariwisata bersama Encik Ismail sebagai Ketua Pelancongan dan Pembangunan Institusi Dinas Pariwisata Aceh.

Seterusnya, para pelajar telah meneruskan lawatan dengan melawat Muzium Tsunami serta sesi taklimat diketuai oleh wakil kerajaan negeri Aceh, melawat kubah di tengah sawah di Gampong Surah dan melawat ke kapal generator elektrik di Gampong Punge Blang Cut. Selain itu, lawatan ke Aceh ini juga disertakan dengan aktiviti Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) bersama wakil daripada Kelompok Sadar Wisata (POKDARWIS) dan penduduk Desa Wisata Gampong Lubok Sukon melalui sesi perkongsian ilmu pengurusan Homestay; penghasilan papan tanda (wayfinding) serta sesi perkongsian budaya tradisional Malaysia.

Komuniti Desa Wisata Lubok Sukon turut menyediakan makanan tradisional Aceh kepada pelajar serta mengadakan lawatan sekitar rumah penginapan desa di kampung tersebut. Selain itu, pihak Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Aceh turut menjemput pelajar menjadi tetamu untuk Expo Pemuda Kreatif Aceh 2023 di Taman Bustanussalatin dimana pelajar FPHP adalah delegasi tetamu dari Malaysia pada acara tersebut.

Disamping itu, pelajar FPHP juga menjalankan aktiviti pembersihan pantai bagi membantu menjamin kelestarian kawasan Pantai Lampuuk. Wakil NGO turut mengadakan sesi perkongsian pengetahuan tentang pelancongan mampan di negeri Aceh yang diketuai oleh Encik Munawar Khalil dari wakil Yayasan Desa Wisata Nusantara (DEWISNU) dan Duta Pelancongan Aceh. Adalah diharapkan agar program lawatan akademik ini dapat membuka ruang di masa hadapan bagi menjalinkan pelbagai potensi kerjasama strategik dengan badan NGO seperti DEWISNU dan POKDARWIS yang bakal memberi manfaat yang lebih besar kepada pelajar dan Universiti.

Pensyarah yang terlibat adalah:
Dr. Khairun Najiah Binti Ahmad
Pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Kampus Puncak Alam

Nama dan jawatan pegawai yang turut terlibat:
Puan Cut Nurmarita
Sekretariat Dinas Kebudayaan dan Pariwisata (DISBUDPAR) Aceh

Encik Ismail
Ketua Pelancongan dan Pembangunan Institusi Dinas Kebudayaan dan Pariwisata (DISBUDPAR) Aceh

Encik Munawar Khalil
Wakil DEWISNU Aceh

Cik Balqis
Kelompok Sadar Wisata (POKDARWIS) Aceh