Program Beach Cleaning PD 2023: Pembersihan Pantai Cahaya Negeri di Port Dickson

PORT DICKSON, 3 Jun 2023 – Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) bersama-sama pihak ICAN UiTM, agensi swasta dan kerajaan, serta pertubuhan alam sekitar telah menganjurkan satu program pembersihan pantai di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson. Matlamat utama program ini adalah untuk membantu pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan pantai dan menggalakkan supaya semua syarikat dan pihak berkepentingan mempraktikkan perkongsian tanggungjawab sosial bersama masyarakat.

Seramai lebih kurang 200 pelajar serta pensyarah telah menyertai program ini yang telah dirasmikan oleh YB Tuan Choo Ken Hwa, Ahli Undangan Negeri Lukut selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional, Exco Kerajaan Negeri Sembilan. Selain aktiviti pembersihan pantai, pihak penganjur juga telah mengadakan bengkel pertanian bandar (urban farming) dan pameran alam sekitar. Aktiviti seumpama ini dilihat dapat meningkatkan kesedaran semua pihak berkepentingan dalam memelihara alam sekitar, khususnya di kawasan persisiran pantai.