Nafas Baharu Projek Inovasi HEP Melalui Bengkel Digitalisasi MDS

SHAH ALAM, 1 JUN 2023 – Unit Korporat dan Tugas-Tugas Khas, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) telah menganjurkan Bengkel Digitalisasi Minggu Destini Siswa (MDS) bertempat di Bilik Seminar Bestari, Kolej Kediaman Mawar, UiTM Shah Alam. Bengkel digitalisasi ini melibatkan wakil pengurusan HEP seluruh sistem UiTM yang terdiri daripada Ketua- Ketua Jabatan BHEP, Dekan, Timbalan-Timbalan Dekan, Timbalan-Timbalan Rektor HEP, wakil staf pentadbiran HEP UiTM cawangan serta wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Tujuan utama bengkel ini dianjurkan adalah mengikut saranan Pekeliling Naib Canselor Bil. 14/2022 Garis Panduan Strategi Bajet UiTM Tahun 2023 di mana pelaksanaan MDS adalah secara hibrid. Selain itu, bengkel seperti ini menjadi platform penambahbaikan slot program MDS yang mengikut kesesuaian mahasiswa baharu UiTM. Cara penyampaian slot MDS penting bagi membolehkan mahasiswa baharu menerima input slot sebaiknya.

Antara intipati bengkel ini ialah kajian semula terhadap pengisian setiap slot serta pertimbangan kerelevanan isi kandungan, figura penyampai, Pusat Tanggungjawab (PTj) dan interaktif pengolahan bahan. Dalam pada itu, terdapat cadangan baharu bagi penekanan dasar atau proses-proses penting kepada pelajar iaitu Aplikasi Proses Akademik, Etika Media Baharu dan Aplikasi Proses Hal Ehwal Pelajar. Penekanan aspek ini penting bagi membantu para pelajar mendapatkan pengalaman hands on dalam menguruskan aplikasi akademik mereka seperti Student Portal dan Ufuture serta permohonan-permohonan yang perlu dibuat oleh mereka pada masa akan datang.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP). Melalui ucapannya, beliau berharap agar BHEP bergiat lebih aktif dalam menambahbaik modul dan program anjuran HEP bagi melahirkan mahasiswa UiTM yang lebih holistik dan matang. Turut hadir ke bengkel ini ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Shahsuzan Zakaria (Pengarah Pembangunan Pelajar) dan YBrs. Encik Wan Ahmad Rahiman Wan Abd Rahim (Timbalan Pendaftar Kanan BHEP).

Kesimpulannya, Bengkel Digitalisasi MDS ini menjadi wadah kepada warga BHEP UiTM seluruh sistem dalam usaha menganjurkan MDS secara hibrid pada masa yang akan datang. Melalui usaha ini, ia akan memenuhi aspirasi universiti ke arah menjadi universiti digital sekaligus mengukuhkan hasrat universiti dalam menjadi Globally Renowned University (GRU) menjelang 2025.