Lawatan Rasmi Dekan dan Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Ke UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang

MACHANG, 03 April 2023 – YBhg. Prof. Dr. Firdaus Abdullah, Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, bersama-sama YBrs. Prof. Madya Dr. Zarina Denan, Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Pengurusan Perniagaan telah mengadakan lawatan rasmi ke UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang pada 27 Mac 2023. Kampus ini merupakan kampus pertama dalam siri lawatan rasmi mereka. Ketibaan YBhg. Dekan dan YBrs. Timbalan Dekan telah disambut mesra oleh YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Kelantan, bersama YBrs. Dr. Azmahani Yaacob@Othman, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Kelantan. Turut hadir bersama menyambut ketibaan tetamu kehormat adalah Koordinator-koordinator program dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP).

Lawatan Rasmi YBhg. Prof. Dr. Firdaus Abdullah bersama delegasi kemudiannya dibawa ke lobi bangunan pentadbiran bagi menandatangani buku pelawat, dan seterusnya dibawa bertemu YBhg. Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Sesi pertemuan tersebut telah memberi peluang kepada YBhg. Rektor untuk membentangkan serba-sedikit maklumat berkenaan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan di UiTM Cawangan Kelantan. Untuk pengetahuan umum, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan merupakan fakulti terbesar di UiTM Cawangan Kelantan.

Kehadiran YBhg. Prof. Dr. Firdaus Abdullah ke Kampus Machang telah dimanfaatkan sebaik mungkin dengan sesi pertemuan dan ramah mesra pelajar bersama YBhg. Dekan. Sesi ramah mesra ini telah dihadiri oleh kira-kira 300 orang pelajar Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dari program Diploma dan juga Ijazah Sarjana Muda. Sesi selama hampir satu jam ini telah memberikan ruang kepada pelajar untuk bertanyakan secara terus kepada YBhg. Dekan, juga YBrs. Timbalan Dekan (Akademik) berkenaan hal ehwal yang berkaitan mengenai pengajian mereka.

Seterusnya, YBhg. Dekan dan delegasi dibawa ke auditorium untuk sesi dialog bersama para pensyarah. YBhg. Rektor turut hadir ke sesi ini memandangkan beliau juga merupakan pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Sesi ramah mesra bersama pensyarah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Prof. Madya. Dr. Zarina Denan dan disusuli oleh YBhg. Prof. Dr. Firdaus Abdullah. Antara intipati ucapan YBhg. Dekan adalah berkenaan dengan peranan para pensyarah dan fakulti dalam mendukung aspirasi UiTM menjadi Globally Renowned University menjelang tahun 2025. Selain itu, hala tuju fakulti serta tanggungjawab pensyarah dalam melahirkan pelajar yang holistic juga turut dibincangkan. Sesi yang diadakan tersebut juga telah membuka ruang kepada para pensyarah untuk mendapatkan maklumbalas secara terus dari YBhg. Dekan juga YBrs. Timbalan Dekan (Akademik).

YBhg. Prof. Dr. Firdaus Abdullah dan delegasi kemudian telah dibawa untuk majlis berbuka puasa bersama-sama Ketua Pusat Pengajian dan para koordinator Program Fakulti Pengurusan dan Perniagaan di Restoran New Horizon, Kota Bharu. Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Kelantan mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Prof. Dr. Firdaus Abdullah dan juga YBrs. Prof. Madya. Dr. Zarina Denan atas kesudian mengadakan lawatan rasmi ke UiTM Cawangan Kelantan.