TAWAU, 23 Mei 2023 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah bersama-sama turun padang dalam penganjuran program Ekspo Selangkah Ke UiTM (ESKU), UiTM Cawangan Sabah 2023 yang berlangsung selama 2 hari pada 20 dan 21 Mei 2023, bertempat di South Atrium, 1 Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah.
UiTMCSH Kampus Tawau telah disertai 4 petugas, diketuai oleh Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, Koordinator Kampus bersama-sama Encik Asri Amiruddin, Encik Sulaiman Halim dan Encik Jemat Julaihi Basri. Penglibatan Kampus Tawau dalam program ESKU 2023 bertujuan menyampaikan maklumat berkaitan program Pra Diploma yang ditawarkan khususnya di Kampus Tawau dan UiTM seluruh negara secara umumnya.
Bukan hanya menyasarkan golongan pelajar lepasan SPM, program ESKU ini juga merupakan salah satu platform buat ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga untuk mendapatkan maklumat berkaitan syarat-syarat kemasukan dan kelayakan akademik program pengajian di UiTM.
Dalam pada itu, Koordinator Kampus UiTMCSH Kampus Tawau turut berpeluang untuk memberikan taklimat tentang program pengajian Pra Diploma secara langsung. Selain itu, khidmat nasihat pelan pengajian berkaitan disediakan bagi membantu calon pelajar untuk membuat keputusan semasa permohonan kemasukan pelajar UiTM.
Program ESKU yang berlangsung dengan meriah ini telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Turut hadir, Timbalan Rektor, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Dr. Sharifah Nurafizah Syed Annuar dan Timbalan Pendaftar Kanan UiTM Cawangan Sabah, Puan Aminah Aman.