Program Minggu Kesedaran Kesihatan Mental oleh Pelajar Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah, Kolej Pengajian Alam Bina UiTM

Puncak Alam, 12 Mei 2023 – Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental adalah “keadaan kesejahteraan di mana individu menyedari keupayaannya sendiri, dapat mengatasi tekanan normal kehidupan, dapat bekerja dengan produktif dan bermanfaat serta mampu memberi sumbangan kepada komuniti”.

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah memberi impak yang besar kepada kesihatan mental setiap individu termasuklah rakyat Malaysia. Pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak terkecuali dengan kesan ini termasuk bebanan tugasan menyiapkan tugasan serta kurangnya aktiviti sosial.

Sehubungan dengan itu, para pelajar dari Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah, Kolej Pengajian Alam Bina UiTM yang diketuai oleh Rosdiana Sofea Aqilah telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program Kempen Kesedaran Kesihatan Mental 2023 pada 3 April 2023 sehingga 30 April 2023 yang lalu. Pelbagai aktiviti telah dianjurkan dengan penggunaan pelbagai peralatan dan bahan pendidikan seni. Antara aktiviti tersebut adalah ‘Doodle Art’, ‘Sampul Raya Art’ dan ‘Fashion Raya Art’. Tujuan utama penganjuran program tersebut adalah untuk memberikan pemahaman dan meningkatkan kesedaran dikalangan para pelajar mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental. Program ini juga telah menerima sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk ‘influencer’ dari media sosial dengan hampir satu juta tontonan hanya pada minggu pertama kempen diadakan.

Program ini telah memberi pelbagai manfaat kepada peserta terutamanya para pelajar UiTM dari aspek peningkatan kesedaran dan ilmu pengetahuan tentang isu kesihatan mental. Pelaksanaan program ini juga adalah satu inisiatif dalam menyokong Dasar Kesihatan Mental Negara untuk melahirkan suatu masyarakat yang seimbang dan sihat bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Baik (SDG 3), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu untuk memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan pada semua peringkat umur.