BANDAR JENGKA, 2 APRIL 2023 – Program yang bertujuan untuk mendedahkan kepada mahasiswa dan mahasiswi Pusat Pengajian Perakaunan UiTM Cawangan Pahang (PPP UiTMCPh) tentang amalan-amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini telah diadakan melalui platform google meet yang dianjurkankan oleh Persatuan Siswa Siswi Diploma Perakaunan (PERSIDA).
Menurut Pengarah Program, Saudara Muhammad Asyraaf Wafiy, “Catchphrase “Ramadan yang terbaik” telah digunakan bagi tujuan menambahkan ilmu dan memantapkan lagi amalan bulan Ramadan”. Ia selari dengan matlamat Pelajar PERSIDA untuk menjadi ‘Bumiputera Profesional Muslim’ seharusnya tidak difokuskan kepada ilmu dunia sahaja, tetapi diseimbangi juga dengan ilmu akhirat.
Tazkirah telah disampaikan oleh pensyarah PPP UiTMCPh sendiri, Tuan Haji Azizi @ Hamizi Hashim yang telah berkongsi beberapa tips dan amalan mudah serta praktikal untuk dilakukan khususnya golongan pelajar bagi menjadikan Ramadan tahun ini adalah yang terbaik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Pentazkirah cuba mengajak para pelajar untuk fokus kepada tiga ibadah utama yang amat sinonim dengan bulan Ramadan iaitu Solat, membaca Al-Quran dan bersedekah. Ujar beliau “diharapkan kita semua mampu menjadikan Ramadan kali ini adalah yang terbaik dengan mengambil peluang untuk meningkatkan amalan-amalan ini samada yang wajib atau sunat di bulan Ramadan yang mulia ini”.
Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar. Susulan daripada program ini, satu lagi program yang diberi nama ‘Program Semarak Kasih UITMCPh (Infaq Ramadan 2023)’ akan diadakan pada minggu ke 4 semester ini.