MACHANG, 26 Mac – Program Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan bersama Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia Cabang Sumut Medan, Indonesia telah diadakan pada 7 Mac 2023 (Selasa). Program ini adalah hasil kesinambungan jalinan kerjasama Volunteering Community Service International Programme di antara Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang, Universitas Sumatera Utara (USU) dan Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia Cabang Sumut Medan, Indonesia.
Program ini dihadiri oleh beberapa barisan pensyarah seperti Prof. Dr. Elisabeth (Ketua Parodi Magister Property dan Penilaian USU), Prof. Dr. Khaira Amalia Fachrudin (Ketua Program Management), Ibu Inneke Qamariah (Timbalan Dekan Finance & Human Resources Management USU), Cik Nur Afiqah Mohd Sakri (Pengarah International Volunteering Programme: Let’s Stand Together with Prime Mover), Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff (Penasihat Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan), Dr. Fadli SE, Msi (Dekan Fakultas Ekonomi & Bisnis USU), Bapak Paidi SE, Msi (Timbalan Dekan International Affair USU), Prof. Dr. Ritha (Ketua Parodi Kewiraushaan USU) dan wakil pengusaha dari Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia.
LDK 1: Digital Marketing bersama fasilitator dari Kelab Prime Mover dan barisan pengusaha Himpunan Pribumi Indonesia (HIPPI)
Kelab Prime Mover UiTM mengutamakan tiga aspek iaitu kesukarelawanan, kepimpinan dan keusahawanan. Program yang dijalankan bersama Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia Cabang Sumut Medan, Indonesia ini dijalankan selaras dengan aspek keusahawanan, di mana ahli jawatankuasa kelab Prime Mover UiTM telah bekerjasama dengan E-Community Synergy dalam menghasilkan modul pemasaran digital. Modul ini dihasilkan bertujuan untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan pembelajaran berkaitan pemasaran digital dengan memanfaatkan platform keusahawanan secara digital seperti ‘TikTok’, ‘Instagram’, ‘Facebook’ dan ‘WhatsApp’ untuk mempromosikan hasil produk yang ingin dipasarkan secara atas talian.
Dengan adanya program ini, ia dapat membantu masyarakat luar untuk lebih peka tentang aplikasi terkini dalam pemasaran digital dan seterusnya mampu membantu dalam meningkatkan hasil pendapatan mereka.
Dalam program ini, seramai 23 orang peserta dari Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia yang terdiri daripada peringkat umur 30-50 tahun dan 31 orang pelajar USU telah menyertai sesi pembelajaran berkenaan pemasaran digital. Setiap pengusaha yang hadir mempunyai perniagaan mereka sendiri seperti menjual keropok, snek dan cendawan. Sebelum ini, para pengusaha ini tidak didedahkan dengan pemasaran digital dan hanya mempromosikan produk mereka dengan meletakkannya di kedai atau gerai. Justeru itu, para pengusaha Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia telah diajar dengan terperinci berkenaan pemasaran digital oleh barisan fasilitator Kelab Prime Mover UiTM. Mereka diajar untuk mengaplikasikannya secara terus menggunakan platform digital seperti di ‘WhatsApp Business’, ‘Instagram’, ‘Tiktok Shop’ dan ‘Facebook’. Mereka turut diajar untuk menghasilkan bungkusan produk yang lebih menarik dan cara untuk mempromosikan produk kepada orang ramai.
Pelbagai ilmu yang amat bermakna telah dikongsikan bersama para pengusaha. Ilmu pemasaran digital yang dipelajari oleh mereka dapat diaplikasikan bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka sekaligus dapat memperkenalkan jenama mereka kepada lebih ramai orang.
Dalam program ini juga, Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff, penasihat Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan dan barisan pengurusan USU dapat bertegur sapa dan beramah mesra bersama para pengusaha. Pada kesempatan ini juga, Kelab Prime Mover UiTM turut mengambil peluang ini untuk berkongsi rezeki dengan memberikan sedikit cenderahati dan sumbangan ikhlas dari pihak UiTM Cawangan Kelantan dan Kelab Prime Mover UiTM kepada setiap pengusaha Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia. Terdapat juga sesi penyampaian hadiah dari pihak UiTM kepada pihak USU disusuli dengan penyampaian hadiah dari pihak USU kepada pihak UiTM.
Program ini melibatkan 18 orang delegasi dari UiTM Cawangan Kelantan yang terdiri dari seorang pensyarah dan 17 orang ahli jawatankuasa dari Kelab Prime Mover UiTM, 23 orang pengusaha Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia dan 31 orang pelajar Universitas Sumatera Utara (USU).
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff selaku Penasihat Kelab Prime Mover UiTM, barisan ahli jawatankuasa Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU para pengusaha Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program pada kali ini. Semoga program yang dijalankan ini dapat memberikan impak positif kepada semua pihak dan memberi dorongan yang kuat untuk terus menjalankan program yang dapat membantu orang ramai. Program ini juga dapat melahirkan mahasiswa yang peka dengan perkembangan isu-isu semasa berkenaan aktiviti kesukarelawanan.
Akhir kata, sama-samalah kita berganding bahu bagi memastikan kecemerlangan dan kegemilangan seperti ini dapat terus dikekalkan dan ditingkatkan oleh Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan bagi tahun 2023 dan di masa hadapan.