Majlis Pelancaran Zon Wi-Fi UiTM di Kolej Kediaman Pelajar, Kampus Seri Iskandar

UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah melancarkan Zon Wi-Fi UiTM di Kolej Kediaman Pelajar pada 16 Mac 2023.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr Mohd Azian Zaidi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar yang mewakili Rektor semasa Program Bicara Rektor sempena Minggu Destini Siswa untuk pelajar baru di Kampus Seri Iskandar.

Beliau memaklumkan, projek pemasangan Wi-Fi ini akan memberikan liputan 100 peratus di Kolej Kediaman Pelajar dengan kelajuan yang lebih baik.
“Sebanyak 384 unit access point telah dipasang di seluruh Kolej Kediaman (Pelajar) Siswa dan Siswi dengan kos projek sebanyak RM1.6 juta,” katanya.
Beliau turut menambah, projek yang telah dilaksanakan antara Oktober 2022 sehingga Januari 2023 ini telah berjaya meningkatkan capaian Wi-Fi secara keseluruhan di Kampus Seri Iskandar dari 17 peratus kepada 43 peratus.

 

“Dalam perancangan Pengurusan Eksekutif dan Bahagian Infostruktur pada masa akan datang, semua bangunan akademik dan pejabat-pejabat pentadbiran di seluruh kampus akan kita mohon peruntukan khusus untuk kita naiktaraf (kemudahan Wi-Fi),” ujarnya.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Norhayati Baharun, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Dr. Zoolhelmi Alias, Penolong Rektor Kampus Tapah, Pengurusan Eksekutif, Ketua-ketua Bahagian dan Unit.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Saudara Muhammad Izzudin Yahaya serta barisan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2022/23.
Majlis tersebut diakhiri oleh bacaan ikrar oleh pelajar baru dan nyanyian lagu UiTM Di Hatiku.