Pada 5 Januari 2023 yang lalu, Jabatan Fizik dan Sains Bahan (JFSB) UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah telah mengadakan program Super Little Scientist bersama dengan 38 orang kanak-kanak di Tadika Eden Hafiz Montessori, Taman Senimas, Kuala Pilah. Seramai 7 orang pensyarah Fizik dan 8 orang pelajar program Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) Semester II telah terlibat secara langsung sebagai fasilitator dan menunjukkan pelbagai demonstrasi aktiviti sains berteraskan subjek Fizik seperti Gelombang, Elektrik dan Elektromagnet.
Penganjuran program ini bertujuan untuk menyuntik minat para pelajar dan masyarakat setempat untuk mendalami bidang sains terutamanya Fizik seawal peringkat pra-sekolah lagi. Selain itu, ia juga dapat membantu para pelajar Pra-Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari di dalam bilik kuliah, selain melatih mereka untuk berkomunikasi dan berinteraksi secara berkesan dengan orang awam, di samping memupuk semangat berpasukan di antara warga UiTM dengan komuniti setempat.
Program Super Little Scientist ini telah bermula seawal jam 8.30 pagi dengan melakukan aktiviti senaman ringan. Seterusnya, kanak-kanak tersebut telah dibahagikan kepada empat kumpulan bagi menjalankan demonstrasi sains bersama dengan para fasilitator. Antara aktiviti sains yang telah dijalankan ialah Let’s Make Wave, Electric Buzz!, Fun-static dan Magnetic Friends. Kanak-kanak tadika dilihat sangat teruja menyaksikan semua demonstrasi sains yang dijalankan. Mereka juga tidak ketinggalan untuk mencuba sendiri aktiviti tersebut bersama dengan ahli kumpulan masing-masing, seperti menghasilkan gelombang bunyi menggunakan telefon cawan, membuat sambungan litar elektrik ringkas, membezakan objek yang bersifat konduktor dan penebat, menghasilkan kesan elektrostatik serta membezakan objek yang bersifat magnet dan bukan magnet. Malah, setiap kanak-kanak turut diberikan hadiah oleh para fasilitator bagi menarik minat mereka untuk kekal aktif dan ceria sepanjang program ini berlangsung.
Menurut Puan Wan Zanariah yang merupakan pemilik Tadika Eden Hafiz Montessori, ini merupakan pertama kali mereka menerima tetamu daripada pihak luar untuk mengadakan program bersama dengan kanak-kanak di situ. “Setelah hampir empat tahun tadika ini dibuka, ini adalah pertama kali kami menerima kunjungan daripada luar untuk mengadakan program bersama anak-anak di sini”.
Melihatkan kejayaan program Super Little Scientist dalam memupuk minat awal kanak-kanak dalam bidang sains, Puan Wan Zanariah amat berharap agar program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang, memandangkan lokasi UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah hanya terletak beberapa kilometer sahaja dari Tadika Eden Hafiz Montessori, Taman Senimas. “Program ini amat baik sekali. Anak-anak mendapat pendedahan awal tentang sains dan mereka nampak sangat teruja. Kami amat berharap UiTM Negeri Sembilan dapat berkunjung lagi ke tadika kami untuk mengadakan program seperti ini pada masa akan datang”.