TAWAU, 16 NOVEMBER 2022 (RABU): Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengadakan program Hari Pra Pendidikan Tinggi 2022 (HPPT 2022). Seramai 231 orang pelajar Pra Pendidikan Tinggi, daripada kedua-dua program Pra Diploma (Perdagangan) dan Pra Diploma (Sains) telah mengambil bahagian dalam program tersebut. Program ini merupakan cetusan idea Koordinator Kampus UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling. Beliau juga telah merasmikan upacara pembukaan dan penutupan Hari Pra Pendidikan Tinggi 2022 UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau.
Antara objektif program HPPT 2022 adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar dalam merancang dan menganjurkan program pelajar serta memberi peluang kepada pelajar untuk bekerja dalam satu pasukan.
Beberapa aktiviti menarik telah dilaksanakan sepanjang HPPT 2022. Antara aktiviti-aktiviti yang telah berlangsung adalah ceramah dandanan “Grooming Talk”, “Virtual Business Flyer Competition”, “Virtual Science Poster Competition” dan “Fun Sports”.
Salah satu aktiviti yang dijalankan ialah sesi ceramah “Grooming Talk” yang disampaikan oleh Puan Sudihati M. Yusi, pengusaha dan pemilik Sudihati Beauty Centre, Tawau. Beliau bukan sahaja menyampaikan ceramah mengenai penampilan diri dan gaya pemakaian, tetapi juga mengambil peluang tersebut untuk melakukan satu demonstrasi dan tutorial solekan untuk pelajar-pelajar UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau. Sesi perkongsian Puan Sudihati diharap dapat memberi pengetahuan, teknik-teknik dan tip-tip dalam meningkatkan penampilan diri dan imej pelajar melalui gaya pemakaian dan teknik-teknik persolekan yang sesuai dengan kehidupan harian seorang pelajar universiti.
Turut dijalankan serentak di sepanjang pagi hari HPPT adalah Kempen Derma Darah yang dijalankan hasil kerjasama UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau dan Unit Perubatan Transfusi, Hospital Besar Tawau. Kempen ini telah menerima sokongan daripada pelajar dan staf UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau yang menjadi penderma darah.
Di samping itu, para pelajar Pra Pendidikan juga menyertai pertandingan secara berkumpulan, iaitu Virtual Business Flyer bagi pelajar Pra Diploma (Perdagangan) dan Virtual Science Poster bagi pelajar Pra Diploma (Sains). Diharap melalui program ini, pelajar dapat mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari secara teori di bilik kuliah. Pihak penganjur juga berharap agar aktiviti pertandingan tersebut dapat memupuk minat terhadap bidang-bidang yang dipelajari, misalnya bidang keusahawanan, perniagaan dan e-dagang serta bidang Science, Technology, Engineering, and Math (STEM); di samping memperkukuhkan semangat bekerja dalam satu pasukan, kemahiran berkomunikasi serta kemahiran-kemahiran kepimpinan.
Selain daripada itu, pertandingan sukaneka telah diadakan di sebelah petang Hari Pra Pendidikan Tinggi 2022. Walaupun petang itu hujan turun, namun cuaca tidak melemahkan semangat pelajar untuk mengambil bahagian dalam acara sukaneka pada petang tersebut. Tiga jenis sukaneka yang berjaya dijalankan termasuklah “Sukan Lari Ikat Kaki”, Padang Berhalangan” dan “Boling Padang”.
Pihak Ahli Jawatankuasa Hari Pra Pendidikan Tinggi 2022 ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program HPPT 2022, khususnya penceramah kami, penaja, staf dan pelajar-pelajar UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau.