Unit Komunikasi dan Pengembangan Ilmu secara asasnya adalah unit yang bertanggungjawab menjaga imej jabatan, membuat hebahan maklumat serta menguruskan acara-acara fizikal mahupun dalam talian.
Unit ini berperanan menerbitkan buku-buku dan majalah yang mengumpulkan aktiviti-aktiviti dan pencapaian setiap unit InQKA. Aktiviti ketampakan InQKA diselia sepenuhnya melalui hebahan di semua platform rasmi InQKA seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan LinkedIn.
Unit ini juga mendukung penuh setiap aktiviti dan program pembudayaan kualiti dan inovasi universiti. Ini termasuk penganjuran Forum Sambutan Hari Kualiti Sedunia yang diadakan saban tahun pada bulan November. Aktiviti pengembangan ilmu juga dipergiat dengan mengadakan bengkel-bengkel perkongsian ilmu seperti Bengkel Pengacaraan dan Penampilan Diri serta Bengkel Penerbitan Video menggunakan Peranti Pintar.
Banyak usaha yang telah dirancang bagi tahun-tahun mendatang. Semoga peranan unit ini dalam pembudayaan kualiti akan terus dilihat signifikan seiring dengan matlamat UiTM menjadi Universiti Terkemuka Dunia 2025.