Sungai Buloh, 4 November 2022 – Seramai lebih daripada 234 mahasiswa Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor (UCS) Kampus Sungai Buloh menerima manfaat daripada Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia. Program ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok keluarga golongan B40 bagi menerima peranti tablet secara percuma.
Sesi penyerahan peranti telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Malaysia bertempat di UiTM Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh dan telah disaksikan oleh Dr. Shahsuzan Zakaria, Pengarah Pembangunan, Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM yang mewakili Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Barisan Pengurusan UCS serta seramai 234 orang mahasiswa UCS sendiri.
Dalam majlis ini, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin juga memaklumkan penggunaan teknologi komunikasi dalam kehidupan pada dekad ini telah diterima sebagai satu keperluan asas. Menyedari hal ini, kerajaan ingin memastikan proses pengajian para pelajar terutama golongan B40 terus terpelihara dengan memperuntukkan sebanyak RM450 juta menerusi Bajet 2022 dan tambahan bajet RM65 juta bagi melaksanakan Insiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia. Oleh itu, inisiatif ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan yang cakna dengan keperluan pembelajaran terutamanya bagi golongan B40 bagi membentuk komuniti digital keluarga Malaysia serta merapatkan jurang digital antara semua kelompok Keluarga Malaysia.
Dr. Shahsuzan Zakaria, Pengarah Pembangunan, Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM yang mewakili Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) berharap dengan penerimaan peranti tablet jenis Samsung Tab A8 LTE, dapat membantu mahasiswa bagi proses pembelajaran yang lebih berkesan seiring dengan perubahan landskap pendidikan tinggi di negara. UiTM juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan atas segala bantuan berterusan yang telah dicurahkan demi memajukan institusi ini.