Arca “Nexus” Simbolik Kemegahan Universiti Teknologi Mara

 

SHAH ALAM, 20 OKTOBER 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melakar sejarah dengan pelancaran arca kelima iaitu Arca “NEXUS” oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor di laman Bulatan Seroja, UiTM Shah Alam pada 18 Oktober 2022.

Menurut pengarca profilik negara Profesor Madya Ramlan Abdullah yang juga pensyarah Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM,   karya ‘NEXUS’ ini diinspirasikan daripada struktur dan visual anak benih. Arca ini merupakan antara karya arca awam yang ke-35 berskala besar yang terdapat di Malaysia dan juga di luar negara yang menjadi simbol kepada objektif universiti sebagai sebuah institusi pendidikan yang ulung.

Bentuk estetika kerangka benih dengan ketinggian 7.4 meter mempunyai elemen binaan garisan dan struktur organik yang menggapai ke langit secara  ‘vertical’,  seumpama sifat anak benih yang bercambah ke arah cahaya matahari demi kelangsungan kehidupan.

 

Simbolik Arca “NEXUS” mengaitkan mahasiswa dan mahasiswi UiTM bertungkus lumus menimba ilmu pengetahuan daripada warga pendididik agar dapat bersedia dalam menempuhi cabaran dunia pada masa kini.  Interpretasi ini dikaitkan dengan fitrah hubungan manusia iaitu antara mahasiswa dan pensyarah yang saling bergantungan dalam mengembangkan ilmu pengetahuan, seterusnya bercambah menjadi teras kepada perkembangan intelektual minda generasi pembentuk pada masa hadapan.

Sebelum ini, UiTM Shah Alam telah memperlihatkan empat buah arca yang menjadi lambang kemegahan institut ini, iaitu;

  1. Arca Movement Series – 1982 (Kompleks Ilham, KPSK)
  2. Arca Movement in Stillness – 2001 (Menara Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS))
  3. Arca Motion and Stillness – 2003 (Dataran Cendekia)
  4. Arca MIM – 2006 (Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin)

Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor menghargai usaha warga UiTM menjadikan alam sebagai tempat berkarya dan berharap agar universiti  dijadikan sebagai galeri terbuka (open gallery) dengan lebih banyak lagi arca awam dibina pada masa akan datang.

Turut memeriahkan majlis perasmian ialah Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Hajah Juliana Johari, Penolong Naib Canselor (Infostruktur) (Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor – Pembangunan), Profesor Dr. Zaini Abdullah, Penolong Naib Canselor (Kolej Pengajian Seni Kreatif), dan Profesor Dr. Shahriman Zainal Abidin, Penolong Naib Canselor (Pengantarabangsaan).