27 September 2022 – Satu lawatan rasmi ke UiTM Cawangan Kelantan telah diadakan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang diketuai oleh YBhg. Prof. Ts. Dr Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) bersama YBhg. Prof. Dr Nooritawati Md Tahir, Pengarah Research Nexus UiTM (ReNeU) serta YBhg Prof. Dr Nor Azura Md Ghani, Timbalan Pengarah Impak Penyelidikan, RMC yang kini menjalankan fungsi Pengarah RMC.
Objektif pertemuan adalah untuk berkongsi strategi pemerkasaan dan pencapaian-pencapaian semasa yang telah diperoleh oleh Pejabat TNCPI kepada pihak pengurusan tertinggi dan barisan pensyarah UiTM Kelantan, agar dapat bersama-sama memainkan peranan dalam membantu UiTM menjadi sebuah universiti terkemuka dunia.
Profesor Norazah dalam ucapannya berkata, “Warga UiTM Kelantan mempunyai kekuatan ahli akademik dengan kepakaran, jaringan dan kehebatan tersendiri dalam bidang masing-masing. Gunakanlah potensi diri yang ada untuk sama-sama kita berganding bahu, berdiri sama teguh dalam membawa universiti ini mencapai apa yang diaspirasikan”.
Beliau turut menekankan, agar semua ahli akademik untuk terus menyumbang sekurang-kurangnya satu penerbitan sebagai corresponding author, seperti yang diumumkan oleh Datuk Naib Canselor ketika amanat tahun baru dapat direalisasikan.
Hadir sama YBhg. Prof. Dr Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Kelantan, YBrs. Prof Madya Dr Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor HEA, YBrs. Dr Syerina Azlin Md Nasir, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri & Alumni, Ketua-ketua, Koordinator dan Pegawai-pegawai kanan UiTM Kelantan.
Diharapkan melalui lawatan ini, objektif pertemuan dapat tercapai serta memberi manfaat kepada seluruh warga UiTM Kelantan.