Lawatan Kerja (FPA) UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka Ke Institut Agro-Bioteknologi, Malaysia (ABI), Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM), Serdang, Selangor

Pada 9 September 2022 yang lalu, seramai 4 orang pensyarah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menghadiri satu lawatan kerja ke Institut Agro-Bioteknologi, Malaysia (ABI), Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM Malaysia), Serdang, Selangor. Di antara tujuan lawatan ini dilakukan adalah bagi membuat perbincangan berkaitan pelaksanaan projek kajian bersama di antara FPA dan ABI, NIBM serta perkongsian kepakaran dan sumber mengenai aplikasi bioteknologi terkini dalam bidang pertanian di Malaysia secara amnya.

Rombongan FPA telah disambut mesra oleh Dr Norsharina binti Md Saad merangkap Saintis / Ketua Jabatan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Tumbuhan, ABI serta Cik Nur Atiqah binti Khirul Anuar; Saintis di bawah Jabatan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Tumbuhan, ABI. Untuk agenda pertama lawatan, para pelawat telah dijemput untuk menghadiri satu sesi pertemuan dan perbincangan bersama Dr. Seetha Jaganathan King, Pengarah ABI di Bilik Mesyuarat Al-Ghazali, ABI. Turut hadir pada sesi berkenaan adalah Puan Nazrien binti Kaman; Saintis/Wakil Pejabat Pengarah ABI. Di antara intipati perjumpaan tersebut termasuk pengenalan jabatan, program-program serta servis yang terdapat di ABI, perbincangan tentang prospek2 penyelidikan masa hadapan serta peluang usahasama di antara FPA dan ABI-NIBM.

Selesai sesi perbincangan yang berlangsung kurang daripada sejam itu, para pelawat kemudian dibawa meninjau fasiliti-fasiliti yang terdapat di ABI seperti makmal pembangunan kultur tisu tumbuhan dan nurseri tumbuhan bersistem hidroponik vertikal bagi tumbuhan perubatan.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Dr Seetha Jaganathan King dan saintis-saintis ABI-NIBM terlibat di atas masa yang diluangkan bersama rombongan lawatan FPA. Adalah diharapkan agar objektif lawatan tercapai serta dapat memberi manfaat kepada kedua-dua institusi yang terlibat.