Program Khidmat Masyarakat Fakulti Perladangan & Agroteknologi, UiTM Cawangan Pahang: Tajaan Barangan Pertanian kepada Rumah Tunas Harapan

9 September 2022 (Jumaat) – Pada jam 11.00 pagi telah berlangsung satu Penyerahan Tajaan Barangan Pertanian kepada Rumah Tunas Harapan (RTH) Semai Bakti Bandar Jengka dalam misi melaksanakan Program Khidmat Masyarakat Universiti (USR) Fakulti Perladangan & Agroteknologi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka kepada komuniti setempat yang memerlukan.

Penyerahan tajaan sumbangan ini telah disampaikan oleh Cik Nur Masriyah Hamzah dan Puan Anisah Mohammed selaku Jawatankuasa Program Perkongsian Ilmu & Khidmat Bakti FPA yang juga mewakili Ketua Pusat Pengajian FPA Ts. Fazidah Rosli kepada Puan Zarini Ali Mamat, Penyelia Rumah Tunas Harapan (RTH). Antara barangan pertanian yang disumbangkan termasuklah Baja NPK Twin Arrow, Cangkul Cap Buaya, Pencakar Besi, Baldi Simen, Skop Tanah dan Pokok Temu Putih.

Objektif utama program khidmat masyarakat ini diadakan adalah untuk menyahut dan menyokong hasrat fakulti dengan menganjurkan program berbentuk tanggungjawab sosial yang memberi manfaat dan impak kepada komuniti (PI 075). Selain itu, program seumpama ini dijalankan adalah bagi membantu komuniti Bandar Jengka dalam melestarikan alam sekitar dalam membudayakan aktiviti tanaman pelbagai jenis pokok termasuklah pokok buah-buahan, pokok hiasan dan pokok herba bagi menjamin keseimbangan alam sekitar untuk generasi yang akan datang. Pada masa yang sama juga, program ini telah menjadi medium perkongsian ilmu di antara pensyarah Fakulti Perladangan & Agroteknologi dengan penghuni Rumah Tunas Harapan dengan menyalurkan bantuan dalam bentuk khidmat nasihat tentang cara penjagaan tanaman selain daripada bantuan input pertanian yang lain.

Adalah diharapkan jalinan kerjasama di antara Fakulti Perladangan & Agroteknologi Kampus Jengka dan komuniti setempat seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan. Jawatankuasa pelaksaan program juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Rumah Tunas Harapan (RTH) dan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.