Malaysia telah muncul juara di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 kali ke 20 bertempat di Ubon Ratchathani, Thailand, dengan kutipan 4 emas, 6 perak dan 1 gangsa, diikuti rapat oleh tuan rumah dengan 4 emas, 1 perak dan 3 gangsa.
Menurut salah seorang jurulatih pasukan Malaysia, Encik Mukhriz bin Mohamed, yang juga Penolong Pegawai Belia & Sukan Kanan UiTM Cawangan Pahang berkata, “perlawanan sengit telah membuat dua atlet memanah UiTM terpaksa berpuas hati dengan 3 pingat perak, walaubagaimanapun 3 pingat perak tersebut telah membantu Malaysia untuk mengatasi Thailand dan ini amat membanggakan UiTM dan negara”.
Kedua-dua pemanah UiTM ini iaitu Muhammad Farhan Hakim bin A.Rhyme, pelajar SR241 Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Kepujian) di UiTM Seremban 3 dan Mohamad Syafiq bin Md Ariffin pula adalah pelajar SR243 Ijazah Sarjana muda Sains Sukan (Kepujian) di UiTM Shah Alam akan meneruskan perjuangan mereka untuk memartabatkan sukan memanah UiTM di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 dari 18 hingga 21 Ogos 2022 dimana Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi tuan rumahnya. Sehubungan dengan itu, latihan pusat selama seminggu akan diadakan di UiTM Cawangan Pahang bermula 10 Ogos selama seminggu dan akan bertolak pada 17 Ogos 2022 ke UPSI.