TAWAU, 29 JULAI 2022: Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengadakan pameran dan taklimat akademik di Dataran Datuk Jimmy Wong, Kolej Tingkatan Enam Tawau (KT6T) sempena program Karnival Pendidikan dan Kerjaya anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling. Program karnival ini telah melibatkan seramai 872 pelajar baharu semester 1 2022/2023 KT6T dan turut dijayakan dengan kehadiran jemputan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta lain serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Pertamanya, pada sesi taklimat akademik, Tuan Haji Surjan Haji Sirajudi, Pensyarah Kanan UiTMCSH Kampus Tawau telah menyampaikan taklimat bertajuk “UiTM Melonjak Potensi Anda”. Dalam taklimatnya, telah dikongsikan informasi kemasukan ke UiTM yang bertujuan memberi peluang kepada pelajar KT6T yang hadir untuk mengetahui maklumat berkaitan program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) serta program pengajian lain yang ditawarkan di UiTM. Para pelajar juga telah diberi khidmat nasihat tentang kursus-kursus yang bersesuaian dengan kelayakan akademik sekiranya ingin melanjutkan pengajian mereka di UiTM.
Sementara itu, pameran akademik UiTMCSH Kampus Tawau telah disertai tiga orang staf yang diketuai oleh Tuan Haji Surjan Haji Sirajudi, Dr. Choo Siow Chin dan Encik Jemat Julaihi Basri. Selain mempromosikan program PPT yang ditawarkan di UiTMCSH Kampus Tawau khususnya, para petugas turut berkongsikan program pengajian lain yang ditawarkan di UiTM secara umumnya. Para pengunjung pameran juga berpeluang memperolehi maklumat secara terperinci berkaitan syarat-syarat permohonan dan kelayakan akademik, serta mendapatkan risalah Kit Akademik program PPT UiTM.
Dalam pada itu, majlis penutupan program karnival telah disempurnakan oleh Tuan Matnoor Sima, Pengetua Cemerlang KT6T. Dalam ucapannya, setinggi-tinggi ungkapan syabas dan tahniah kepada semua pelajar baharu semester 1 2022/ 2023 kerana telah berjaya ditawarkan pengajian ke Tingkatan Enam di KT6T. Pengambilan tahun 2022 ini merupakan rekod tertinggi yang pernah dicapai KT6T. “Meluncur Gemilang!” merupakan cogan kata yang diilhamkan oleh Pengetua Cemerlang sendiri berperanan sebagai “War Cry or Battle Cry” yang diharapkan akan dapat meningkatkan semangat dan nilai bangga sebagai individu yang terlibat secara langsung di KT6T.
“Kejayaan itu bersifat infiniti yang tidak terhad kepada kejayaan dalam akademik semata-mata, bahkan kejayaan dalam bidang-bidang yang lain bertitik tolak daripada perolehan ilmu dan pengalaman berharga di KT6T” tambahnya lagi.
Ucapan setinggi-tinggi syabas dan terima kasih juga diberikan kepada semua IPT dan agensi kerajaan yang turut sama menjayakan program karnival dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sehingga itu, sambutan yang amat menggalakkan telah diterima sepanjang program karnival diadakan. Semoga dengan penganjuran Karnival Pendidikan dan Kerjaya seperti ini berjaya memberikan segala informasi yang jelas berkaitan kemasukan pelajar, syarat-syarat akademik dan senarai program yang ditawarkan kepada pelajar sekiranya melanjutkan pengajian di UiTM.