DENGKIL, 25 Jun- Seramai 605 pelajar yang melibatkan lapan buah sekolah rendah Daerah Klang telah terlibat dalam program Kursus Pemimpin Muda yang telah dijalankan di UiTM Dengkil, Selangor dan SK Pandamaran Jaya, Selangor pada 24 Jun dan 25 Jun 2022.
Program ini telah disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records di bawah kategori Most Students in a Public Speaking Competition.
Tujuan program Kursus Pemimpin Muda adalah untuk membentuk murid-murid yang berketerampilan dan memiliki daya kepimpinan yang tinggi, berdisiplin di dalam diri setiap murid untuk mencapai kejayaan sama ada di dalam bidang akademik mahupun kokurikulum di sekolah.
Program ini merupakan salah satu kolaborasi antara lapan buah sekolah sekitar daerah lembah Klang dan penganjuran bersama Unit Kerjaya dan Kaunseling (UKK) Pusat Asasi, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam sesi 2021/2022 dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.
Menurut Rasydan, YDP MPP UiTM yang juga merupakan Pengarah Program, penganjuran program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pemimpin murid sekolah rendah yang terlibat disamping mencungkil minat dan kebolehan dalam pengucapan awam.
Norhisham, Pegawai Psikologi Kanan UKK Pusat Asasi berkata, “Setelah hampir 2 tahun ketiadaan program secara fizikal, program ini sangat memberi impak yang positif kepada para pelajar dari segi mental dan fizikal serta dapat merapatkan hubungan sesama pelajar daripada pelbagai sekolah.”
Para peserta telah didedahkan dengan aktiviti yang melibatkan pengucapan awam dan kepimpinan di dalam usaha membentuk murid-murid yang mempunyai akhlak, sahsiah dan disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara iaitu untuk membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.