High- Performance Gym, Aras 4, FSK 2,3,4, 26 Mei 2022: Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) 2021/2022, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah melaksanakan satu Majlis Sambut Hari Raya Aidilfitri. Program ini diadakan secara bersemuka yang melibatkan para pensyarah, staf pusat pengajian Fisioterapi dan mahasiswa Fisioterapi dari semester 2, 4 dan 6. Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk memberi peluang kepada semua pelajar Fisioterapi untuk berkongsi kegembiraan dalam menyambut hari raya Aidilfitri setelah dua tahun tidak menyambutnya berikutan dengan Covid-19. Selain itu, program ini juga dapat menunjukkan bahawa pihak universiti masih mengamalkan dan mendedahkan mahasiswa mengenai tradisi sambutan perayaan di negara kita yang hampir dilupakan.
Program ini telah dimulakan dengan ucapan dari pengarah program dan diteruskan dengan sesi menjamu selera. Semasa para pensyarah, staf dan pelajar menjamu selera, para tetamu dihiburkan dengan tayangan montaj yang telah disediakan oleh biro program. Montaj tersebut merupakan ucapan hari raya daripada wakil setiap semester. Setelah slot menjamu selera selesai, program diteruskan lagi dengan sesi permainan. Antara permainan yang dipertandingkan adalah musical chair. Tujuan permainan ini dipertandingkan adalah untuk memeriahkan lagi majlis hari raya dan merapatkan hubungan antara mahasiswa Fisioterapi.
Sebelum majlis selesai, program diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah untuk para pemenang. Pemenang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Tik Tok Raya Challenge, Pakaian Raya Paling Glam dan Musical Chair. Hadiah telah disampaikan oleh pengarah program dan diiringi oleh biro hadiah.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini dapat memupuk nilai perpaduan ikhtisas dalam kalangan pelajar Fisioterapi, pensyarah serta staf pusat pengajian Fisioterapi. Disamping itu, dengan adanya program ini, para pelajar dapat menyelami dan meningkatkan pengetahuan pelajar berkenaan tradisi Aidilfitri yang hampir dilupakan dek peredaran zaman. Semoga pelaksanaan program ini dapat menghasilkan para graduan yang proaktif dalam kegiatan kebudayaan di Malaysia.