SHAH ALAM, 25 MEI 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi menjalin hubungan strategik dengan universiti luar negara. Jalinan strategik ini dilakukan melalui Letter of Intent (Surat Hasrat) yang ditandatangani oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor dengan Encik Jacques Frémont, Presiden Universiti Ottawa, Kanada pada 25 Mei 2022 bertempat di Bangunan Canseleri UiTM Shah Alam. Terdahulu, Encik Jacques Frémont telah mengunjungi Naib Canselor bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara UiTM dan Universiti Ottawa, Kanada. Hasrat ini diterima baik UiTM selaras dengan usaha untuk memenuhi keperluan pengantarabangsaan UiTM yang dirangka dalam Pelan Strategik UiTM 2025 (UiTM2025) menuju objektif Universiti Terkemuka Dunia atau Globally Renowned University (GRU).
Dalam masa yang terdekat, UiTM mempunyai perancangan untuk meneruskan usaha sama dengan Universiti Ottawa melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak yang pastinya akan memberi manfaat kepada staf dan pelajar kedua-dua organisasi. Impak yang lahir dari hubungan dua hala ini akan memangkinkan pengembangan kerjasama dalam program mobiliti staf dan pelajar antarabangsa melalui penganjuran program sangkutan, jaringan kerjasama program akademik, seminar, program berkembar antara kedua-dua universiti, profesor pelawat, aktiviti penyelidikan dan perundingan. Kerjasama erat bersama universiti antarabangsa ini seterusnya akan memberi kesan kepada ketampakan UiTM di persada dunia.
Bidang tujahan Universiti Ottawa adalah berkait rapat dengan pengajian kejuruteraan. Dalam lawatan kerja tersebut, Profesor Sr. Ir. Dr. Hj Suhaimi Abdul Talib, Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM telah mengiringi delegasi dari Universiti Ottawa untuk sesi suai kenal dan lawatan di beberapa makmal Kolej Pengajian Kejuruteraan. Lawatan disambung semula dengan perbincangan untuk meneruskan perkongsian strategik keduadua delegasi pada masa hadapan dan diakhiri dengan jamuan tengah hari rasmi di Hotel UiTM.