SEPANG, 10 MEI 2022 – Seramai 17 orang atlet Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah terpilih mewakili negara ke Temasya Sukan SEA melibatkan sembilan jenis acara yang dipertandingkan di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei 2022. Seramai 5 orang atlet UiTM beraksi dalam acara Pétanque diikuti acara kayak seramai 3 orang, catur 2 orang serta atlet-atlet lain dalam acara sepak takraw, Ten-pin bowling, memanah, bola sepak, dan menembak. Cabaran warga UiTM ke Sukan SEA Hanoi juga digalas oleh tiga staf UiTM yang terlibat sebagai pemain dan jurulatih pasukan.
Bertempat di KLIA2, satu sesi pertemuan ringkas atlet Pétanque dan sepak takraw bersama YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM diiringi YBhg Prof Dr Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP) telah diadakan bagi memberi semangat dan inspirasi kepada atlet UiTM untuk beraksi dengan cemerlang dalam misi untuk mencapai pingat di temasya dwitahunan ini. Datuk Naib Canselor melahirkan rasa amat berbangga dengan pencapaian atlet UiTM dalam mewakili pasukan kebangsaan dan sentiasa peka dengan kebajikan mereka. Bagi memberi sokongan moral, pihak pengurusan UiTM menyumbangkan wang saku berjumlah RM3,200.00 kepada atlet-atlet UiTM sebelum mereka berlepas ke Hanoi semalam.
Untuk rekod, sebelas orang atlet merupakan pelajar Fakulti Sains Sukan Rekreasi, dua orang pelajar Fakulti Pengurusan Perniagaan, dan yang lain merupakan pelajar dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi serta Fakulti Pendidikan. Kecemerlangan atlet UiTM yang mewakili negara dalam kejohanan sukan ini merupakan impak kepada Matlamat 3: Sustainable Development Goals (SDG) dalam usaha UiTM mempromosikan gaya hidup sihat dan sejahtera melalui pencapaian atlet-atlet UiTM kepada warga kampus.