28 April 2022- Nursing Student Association (NUSA), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah menganjurkan satu program iaitu Majlis Khatam Al-Quran yang seringkali diadakan pada setiap tahun. Program ini menggunakan platform Microsoft teams yang berlangsung pada 28 April 2022 pada jam 2.30 petang. Program ini dijalankan sempena bulan Ramadan bagi menghayati dan meraikan bulan mulia yang penuh barakhah.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk memupuk perasaan minat dan kecintaan terhadap al-Quran dalam diri pelajar di samping menghayati peristiwa Nuzul Al-Quran. Selain itu, program ini diadakan adalah bertujuan untuk melahirkan pelajar yang istiqamah membaca Al-Quran serta melahirkan pelajar yang memahami isi-isi al-Quran. Program ini melibatkan semua pelajar kejururawatan dan 5 orang wakil dari setiap persatuan Fakulti Sains Kesihatan yang lain.
Dalam Majlis Khatam Al-Quran ini, dua orang pelajar kejururawatan telah mengetuai bacaan khatam al-Quran iaitu Zahirrudin Bin Zikuan dan Muhammad Amirul Firdaus Bin Abdul Ghani. Melalui program ini, para pelajar dapat menghayati bulan Ramadan dengan lebih mendalam serta memperoleh ganjaran pahala yang besar kerana memartabatkan al-Quran dalam kehidupan seharian terutama pada bulan Ramadan.
Dengan adanya program seperti ini, kita dapat melahirkan para pelajar yang memartabatkan al-Quran dan bukan sahaja membaca al-Quran tetapi memahami setiap isi-isi Al-Quran. Oleh itu, program ini sewajarnya menjadi program tahunan agar dapat meningkatkan tahap kerohanian dalam diri pelajar serta melahirkan pelajar yang istiqamah dalam melakukan ibadat bukan sahaja pada bulan Ramadhan.